Friday, September 9, 2011

Kerajaan tunduk pada syarikat telekomunikasi- SAMM

             Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) membantah keras cukai perkhidmatan sebanyak 6 peratus yang dikenakan syarikat telekomunikasi kepada pelanggan prabayar di negara ini, kata pengerusinya, Badrul Hisham Shaharin.

          Menurut Badrul,  kenaikan itu membuktikan kerajaan hanya menjaga kepentingan korporat dengan mengalih beban kepada pengguna, meskipun syarikat- syarikat telekomunikasi menunjukkan keuntungan setiap tahun.
“Mengenakan caj 6 peratus ini juga menunjukkan kerajaan tunduk kepada syarikat gergasi telekomunikasi seperti mana kerajaan tidak melakukan apa-apa  tindakan  kepada astro yang menaikkan caj kepada pengguna tanpa melalui proses untuk mendapatkan kebenaran kerajaan seperti dakwaan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia,” ujarnya dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurut Badrul, SAMM memandang serius caj tersebut kerana ia membebankan pengguna prabayar yang majoritinya terdiri dari golongan kurang berkemampuan.
“Kerajaan juga harus sedar, para pengguna Prabayar ini bukanlah mereka daripada golongan yang mampu. Kebanyakan pengguna Prabayar terdiri daripada golongan pekerja kilang, buruh kasar, pelajar, golongan sederhana serta mereka yang berpendapatan rendah,” ujar beliau.
Justeru katanya, kerajaan dilihat tunduk pada kehendak syarikat-syarikat gergasi ini dengan tujuan melipat gandakan keuntungan dengan tidak memikirkan masalah yang dihadapi pengguna.
Bahkan kerajaan cuba memperbodohkan rakyat dengan menaikkan cukai-cukai perkhidmatan tanpa disedari meskipun kerajaan menangguhkan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) kepada rakyat..
Dalam pada itu, Badrul berkata, ketika rakyat dikenakan pelbagai jenis cukai, industri nombor ramalan ‘terlepas’ dari bebanan itu.
“SAMM ingin menarik perhatian dalam pada masa yang sama ketika rakyat hendak makan dicukai, hendak guna pelbagai perkhidmatan dicukai tetapi sedarkah kita bahawa cukai GST atau seumpamanya ini tidak dikenakan ke atas industri nombor ramalan. Kenapa ini berlaku?,” soal beliau.
Sehubungan  itu, SAMM mendesak caj 6 peratus terhadap pengguna khidmat prabayar dihapuskan sekiranya kerajaan peka terhadap masalah yang dibebani rakyat.
“SAMM amat yakin jika kerajaan masih meneruskan dasar untuk membebankan rakyat ini, SAMM meminta rakyat agar menolak kerajaan pusat yang sedia ada kepada kerajaan baru yang lebih mesra rakyat dalam aspek kebajikan khususnya dalam perihal cukai,” tegasnya.-k.daily

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...