Mahathir hanyalah seorang ahli politik negara dan bukan ahli sejarah yang layak memberi komentar terhadap apa yang pernah berlaku. Bukan semua kenyataannya benar...
Tun Dr Mahathir Mohamad bukan pakar sejarah dan kerana itu beliau tidak layak mengenai perkara tersebut, kata Ketua Penerangan Pemuda PAS Pusat, Riduan Mohd Nor.
Beliau mendakwa kenyataan mantan perdana menteri menyokong Ketua Kluster Sejarah Warisan dan Sosiobudaya Majlis Profesor Negara (MPN) Datuk Zainal Kling menyebabkan rakyat semakin keliru terhadap sejarah kemerdekaan negara.“Kenyataan Tun Dr Mahathir menyebabkan rakyat semakin keliru terhadap sejarah kemerdekaan negara.
Dengan kenyataan penuh kontroversi oleh Profesor Zainal Kling telah menimbulkan keserabutan dalam pemikiran rakyat Malaysia.
“Kenyataan Dr Mahathir pula menambah lagi kekeruhan. Banyak persoalan yang bermain di fikiran rakyat,”ujarnya dalam satu kenyataan.
Pemuda PAS mempersoalkan, jika Malaya tidak pernah dijajah, mengapa menyambut hari kemerdekaan negara pada 31 Ogos setiap tahun? Dan jika Malaysia tidak pernah dijajah, apakah Umno boleh dianggap pejuang kemerdekaan?
Ahli politik
Riduan menegaskan, Dr Mahathir hanyalah seorang ahli politik negara dan bukan ahli sejarah yang layak memberi komentar terhadap apa yang pernah berlaku.
Menurut Riduan lagi, sejarah perlu dibentangkan dengan fakta dan kajian ilmiah secara terperinci dan jika tidak beliau tidak berhak memberikan pandangannya mengenai sejarah negara.
Pemuda PAS mencabar Dr Mahathir, adakah beliau berani mengaku bahawa Umno bukanlah pejuang kemerdekaan sebenar kerana negara tidak pernah dijajah.
“Apakah juga Dr Mahathir mahu menafikan sumbangan tokoh-tokoh kemerdekaan yang diangkat selama ini seperti Tunku Abdul Rahman, Datuk Onn Jaafar, Datuk Panglima Bukit Gantang dan lain-lain?
“Beranikah Tun Dr Mahathir menyebut bahawa British layak diangkat sebagai pejuang negara manakala Dr Burhanuddin al-Helmi,
Ahmad Bostamam, Tok Janggut, Tuan Guru Abdul Rahman Limbong, Datuk Bahaman, Mat Kilau, Mat Saleh, Rentap, dan lain-lainnya sebagai pengkhianat negara?,”soal Riduan lagi.
Gerakan kemerdekaan
Beliau menjelaskan gerakan-gerakan menuntut kemerdekaan terlebih dahulu ditubuhkan sebelum Umno.
Kesatuan Melayu Muda (KMM) ditubuhkan pada 1938, manakala Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) ditubuhkan pada 1945 dan badan gabungannya seperti Angkatan Pemuda Insaf (Api) yang ditubuhkan pada Februari 1946 , Angkatan Wanita Sedar (Awas) dan Barisan Tani Se-Tanah Air (Batas).
Umno, kata Riduan hanya ditubuhkan pada tahun 1946 lewat beberapa tahun selepas penubuhan gerakan-gerakan ini.
“Saat gerakan nasionalis kiri ini melaungkan slogan merdeka, Umno masih dengan slogan “Hidup Melayu”.
“Umno pula telah diharamkan pada tahun 1988. Umno yang ada kini hanya Umno baru yang ditubuhkan selepas diharamkan tahun1988. Roh Umno zaman ‘kemerdekaan’ telah berkubur sejak itu.
“Zaman Dr Mahathir yang menyebabkan Umno diharamkan. Apakah Dr Mahathir sudah lupa dan mahu menggelapkan sejarah ini,” jelasnya lagi.-FMT
No comments:
Post a Comment