Monday, September 26, 2011

Umno Memang Suka Syok Sendiri-Faekah Husin

               Setiausaha politik Menteri Besar Selangor, Faekah Husin menempelak Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dengan mudah membuat kesimpulan bahawa seluruh rakyat di negeri ini merasa tertekan berada di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat hanya dengan mendengar pandangan peribadi seorang individu.
               "Mungkin inilah yang dimaksudkan oleh Perdana Menteri yang orang Umno suka syok sendiri," katanya dalam satu kenyataan media.

Namun katanya, dakwaan itu barangkali relevan kepada golongan yang mempunyai kepentingan dan merasa selesa melakukan aktiviti-aktiviti penyelewengan dengan merasuah pegawai kerajaan dan orang politik untuk mendapatkan pertolongan dan pengecualian daripada polisi dan syarat untuk mengaut keuntungan lumayan dalam era pemerintahan Umno-BN dahulu.


Senario itu tambah malang kata Faekah kerana selain amalan korupsi bermaharajalela, projek-projek yang diraih oleh kroni-kroni ini pula dilaksanakan secara sambil lewa.

"Golongan ini adalah para kroni dan suku sakat Umno-BN yang selama ini telah mengaut kekayaan menerusi pemberian projek secara terus, menjadi orang tengah dan para pelobi.

"Ketika pentadbiran Umno-BN, ahli perniagaan ini ‘terlalu berkuasa’dan undang-undang tidak mampu menakutkan mereka hanya kerana mereka ini mendapat ‘keizinan’ dan ‘dilindungi’ orang politik yang merestui perbuatan khianat ini,"katanya lagi.

Semalam, timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin dilaporkan sebagai berkata rakyat Selangor "terseksa" di bawah Pakatan Rakyat dan berharap masyarakat Selangor memilih BN dalam pilihan raya akan datang.

"(Orang tersebut kata) saya nak cepat-cepat pilihan raya nak pergi mengundi sokong BN, sebab rasa terseksa duduk bawah Pakatan di Selangor,"Muhyiddin dipetik sebagai berkata.

Faekah bagaimanapun menzahirkan rasa kesalnya terhadap kenyataan orang nombor dua itu yang mengeluarkan kenyataan sumbang dan memalukan dirinya sendiri.

Tinjauan yang dilakukan mendapati rakyat Selangor gembira dengan corak pentadbiran dan pengurusan Pakatan Rakyat apabila berjaya meningkatkan taraf hidup rakyat dengan pelbagai bantuan menerusi program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES).

"Dalam tempoh empat tahun, kita telah berbelanja lebih RM500 juta untuk rakyat dan sebahagian besarnya disalurkan untuk skim pemberian air percuma,

"Mana mungkin rakyat Selangor tertekan dengan pemberian air percuma ini dan program-program kebajikan lain yang diberikan kerajaan Pakatan Rakyat,"ujar beliau lagi.-Tvsnews

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...