Monday, September 12, 2011

Cukai 6% telefon prabayar: Berpuluh juta rakyat jadi mangsa

                 Antara hadiah terbaik daripada kerajaan UMNO dan Barisan Nasional untuk rakyat Malaysia pada tahun ini ialah caj cukai perkhidmatan 6 peratus terhadap 26.2 juta pelanggan telefon mudah alih prabayar (prepaid).
                 Seramai 26.2 juta orang di Malaysia, kebanyakannya pekerja berpendapatan rendah, pelajar, peneroka Felda, petani, nelayan, penjaja, suri rumah dan ramai lagi yang sedang dihimpit tekanan ekonomi yang sepatutnya dibela oleh kerajaan, kini menjadi semakin tertekan.

Setelah subsidi barang dan perkhidmatan perlu dikurangkan, walau pun syarikat-syarikat kroni besar terus menikmati subsidi kerajaan, para pengguna dibebankan pula dengan cukai perkhidmatan untuk telefon prabayar
.

Mengapa pengguna dimangsakan?

Mengapa perkhidmatan telefon prabayar menjadi mangsa? Tidak perlu berilmu tinggi untuk menyedari bahawa angka 26.2 juta pengguna itu sudah jelas memberikan jawapannya.

Dalam beberapa laman blog, sudah ada yang membuat kira-kira. Antaranya, apabila cukai perkhidmatan 6 peratus dikenakan, ia bererti 60 sen bagi setiap nilai tambah RM10.

Mungkin ada yang menganggap berapa sangat 60 sen itu, tetapi 60 sen itu dibayar oleh 26.2 juta pengguna. Malah, ada laman blog yang sudah pun mengira bahawa 60 sen itu sama nilainya dengan 60 pesanan SMS (kadar termurah).

Biasanya pengguna menambah nilai setiap minggu. Jadi 26.2 juta x 60 sen = RM15.72 juta seminggu. Jika sebulan, RM15.72 x 4 = RM62.88 juta. Itu cuma atas kadar minimum. Kata orang dulu-dulu, makan gaji buta.

Sama ada kerajaan atau syarikat penyedia telekomunikasi yang untung besar, itu bukan masalah rakyat. Yang menjadi persoalan mengapa rakyat perlu dimangsakan sewaktu ekonomi negara meruncing keadaannya?

Sedangkan baru semalam Ketua Pegawai Eksekutif Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) Datuk Seri Idris Jala mengumumkan bahawa Makmal Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) telah selesai berbincang pusingan pertama isu kenaikan kos hidup.

Kejayaan program transformasi Najib?

Inikah kejayaan Pemandu dan NKRA untuk membantu rakyat? Dengan mengenakan cukai perkhidmatan untuk telefon prabayar?

Inikah usaha transformasi Datuk Seri Najib Razak yang diwarwarkan kononnya Program Transformasi Kerajaan (GTP) yang diterajui oleh Pemandu di bawah Jabatan Perdana Menteri telah “melakar banyak kejayaan pertama yang belum pernah diraih selain telah meningkatkan taraf kehidupaan jutaan rakyat”?

Jika membebankan dan menyusahkan kehidupan rakyat serta menguntungkan syarikat-syarikat besar yang menjadi kroni kerajaan UMNO-BN dianggap sebagai kejayaan besar, jelas sekali pucuk pimpinan negara sudah terpisah daripada hakikat kehidupan yang terpaksa dilalui oleh setiap rakyat.

Agaknya inilah yang dimaksudkan oleh Najib apabila mendabik dada bahawa “kejayaan yang telah dicapai ini juga telah diakui oleh pihak ketiga yang terkenal dan bebas, termasuk pakar-pakar antarabangsa yang berwibawa daripada organisasi bereputasi baik”, sebagaimana yang dicatatkan dalam perutusan Laporan Tahunan GTP 2010.

Untung buat UMNO-BN dan kroni?

Mungkin lebih dari itu, sebagaimana yang dikatakan oleh Ahli Parlimen PAS Kuala Selangor Dr Dzulkefly Ahmad, “tindakkan menaikkan caj prabayar sebanyak 6 peratus ini bukan sahaja membebankan rakyat malah ia secara jelas adalah satu usaha kerajaan untuk mengumpul dana pilihan raya ke-13 nanti.”

“Sekali lagi apa yang saya ingin nyatakan disini Najib sekali lagi gagal melaksanakan prinsip yang beliau bawa dalam konsep 1Malaysia yang mana Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

“Kalau Najib betul-betul perihatin terhadap rakyat bukan cara sedemikian ia dilakukan, dalam keadaan sekarang rakyat tidak lagi boleh dibebani oleh kenaikan harga barang,” katanya.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Shamsul Iskandar Md Akin pula menganggap alasan syarikat telekomunikasi bahawa caj itu merupakan “cukai perbelanjaan” adalah tidak bertanggungjawab kerana menambahkan beban golongan muda, pelajar universiti, pekerja kilang dan rakyat berpendapatan rendah.

“AMK difahamkan bahawa peneraju penyedia perkhidmatan komunikasi bersepadu Malaysia, MAXIS Berhad (Maxis) telah merekodkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM1.498 bilion untuk tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2011.

“Nilai keuntungan ini meningkat berbanding RM1.485 bilion dalam tempoh sama tahun lalu dan dijangka akan mencatatkan keuntungan berlipatganda untuk tempoh enam bulan berakhir 31 Disember 2011 kesan dari pelaksanaan ‘cukai perbelanjaan’ ini,” katanya.

Semakin teruk rakyat dihimpit masalah ekonomi yang sebenarnya dicipta oleh kerajaan UMNO-BN.

Rompakan dana awam

Bukan sahaja pengguna telefon prabayar merana, rakyat jelata akan terus menderita jika cadangan kerajaan UMNO-BN untuk mengwastakan Indah Water Konsortium (IWK) menjadi kenyataan.

Dalam laporan The Malaysian Insider, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dipetik sebagai berkata ia adalah rompakan dana awam.

Menurutnya, IWK adalah syarikat swasta yang rugi dan ia telah diselamatkan oleh kerajaan dengan menggunakan wang rakyat 11 tahun lalu.

Kini, IWK sekali lagi mahu diswastakan sedangkan hutangnya RM1.5 bilion kepada Kementerian Kewangan akan dilangsaikan.

“Dulu swasta, kemudian dimiliknegarakan dan sekarang hendak diswastakan semula. Apa bezanya? Akhirnya, kedua-dua model telah gagal sebab ia satu rompakan dana awam,” katanya.

Semuanya ini gara-gara ketamakan kepimpinan UMNO-BN sehingga ahli-ahli parti mereka sendiri sudah mula marah dengan gelagat pemimpin yang hanya pentingkan diri dan kroni.

Ahli-ahli UMNO dan parti-parti komponen BN sudah mula sedar bahawa mereka juga terpaksa membayar cukai 6 peratus telefon prabayar, caj khidmat IWK, bil elektrik, cukai perkhidmatan Astro dan bermacam-macam bil dan harga lagi, seperti juga para penyokong Pakatan Rakyat. – Roketkini

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...