Sunday, September 18, 2011

Mansuh ISA : Kerajaan Perlu Hormati Jiwa Dalaman Manusia

Saya harap akta-akta pengganti yang akan dibentangkan nanti tidaklah mencengkam atau undang-undang jakun yang tidak berperikemanusiaan sepertimana ISA, tidaklah menjadi undang-undang rimba
              Akta-akta yang bakal menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) perlu lebih berperikemanusiaan serta menghormati jiwa dalaman manusia terutamanya isteri, anak-anak serta keluarga tahanan.
              Exco Hal Ehwal Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Datuk Dr Hasan Ali berkata walaupun Malaysia antara negara akhir yang memansuhkan akta tersebut, beliau percaya rakyat yang cintakan kebebasan menyambut baik pengumuman pemansuhan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

"Saya menyambut dengan baik, bahkan rakyat Malaysia yang cintakan kebebasan pun menyambut dengan baik.
Apapun saya harap akta-akta pengganti yang akan dibentangkan pada 3 Oktober yang akan datang, saya harap tidaklah mencengkam, tidak berperikemanusiaan sepertimana ISA, tidaklah menjadi undang-undang rimba," katanya.

"Akta yang baru ini seharuslah akta yang lebih menghormati kemanusiaan, jiwa dalaman manusia (termasuk isteri, anak-anak kepada tahanan-tahanan ISA) maknanya semasa tahanan. Ini merupakan perkara yang digusarkan oleh mereka yang terlibat secara langsung dan tidak langsung," kata beliau.

Ujarnya, beliau yang turut yakin bahawa akta yang bakal diperkenalkan akan lebih bersifat perikemanusiaan, mengenali citarasa intipati manusia memandangkan banyak cadangan dan saranan yang dikemukakan.

Sementara itu bagi Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali melihat pemansuhan akta ini sepatutnya telah lama dihapuskan kerana ia tidak lagi relevan untuk sebuah negara maju seperti Malaysia.

"Dengan menghapuskan ISA itu adalah satu langkah yang bijak yang sepatutnya dilaksanakan dengan serta-merta dan juga mereka yang masih lagi ditahan di ISA itu dibebaskan dengan segera dan juga segala masalah-masalah yang telah dihadapi oleh isteri dan anak-anak mereka yang ditahan di bawah ISA itu perlu diberi ganjaran yang setimpalnya kerana mereka telah menghadapi masalah yang begitu besar."

Kelmarin dalam perutusan khas sempena Hari Malaysia kelmarin, Najib mengumumkan bahawa ISA akan dimansuhkan dan dua undang-undang baru yang sesuai akan digubal bagi memelihara keamanan, kesejahteraan, kesentosaan serta kerukunan hidup rakyat dan negara.

Katanya, dua undang-undang baru akan digubal di bawah “semangat serta payung” Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan bagi mencegah perbuatan subversif, keganasan terancang dan perbuatan jenayah.-Tvsnews

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...