Saturday, September 10, 2011

Kad Prabayar : Lagi Desakan Batal Caj Enam Peratus


               Angkatan Muda Keadilan (AMK) hari ini mendesak kerajaan dan syarikat telekomunikasi (Telco) agar segera membatalkan keputusan mengenakan caj perkhidmatan enam peratus bagi pembelian tambah nilai perkhidmatan prabayar dan pek permulaan kad SIM mulai 15 September ini.
              Ketuanya, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, AMK kesal dengan keputusan tersebut kerana ia jelas tidak munasabah dan hanya akan menyebabkan rakyat berpendapatan rendah dan golongan muda menanggung beban.

“Alasan syarikat telekomunikasi bahawa caj tambahan sebanyak 6% ini merupakan ‘cukai perbelanjaan’ adalah tidak bertanggungjawab kerana ia secara langsung menambahkan beban pengguna terutama golongan muda, pelajar universiti, pekerja kilang dan rakyat berpendapatan rendah,” tegas Shamsul dalam satu kenyataan media.

Menurut Shamsul, tindakan mengenakan  caj perkhidmatan enam peratus itu disifatkan sebagai tidak wajar kerana ketika ini syarikat-syarikat komunikasi sedang mengaut keuntungan berbilion ringgit setahun.

“AMK difahamkan bahawa peneraju penyedia perkhidmatan komunikasi bersepadu Malaysia, MAXIS Berhad (Maxis) telah merekodkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM1.498 bilion untuk tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2011.

“Nilai keuntungan ini meningkat berbanding RM1.485 bilion dalam tempoh sama tahun lalu dan dijangka akan mencatatkan keuntungan berlipatganda untuk tempoh enam bulan berakhir 31 Disember 2011 kesan dari pelaksanaan ‘cukai perbelanjaan’ ini,” jelasnya.

Katanya lagi, kerajaan juga kini dilihat  bertindak “mendahulukan” syarikat-syarikat korporat dalam banyak hal dan ini terbukti menerusi pembiayaan subsidi dengan jumlah besar kepada syarikat-syarikat penjana kuasa bebas (IPP).

“Justeru, AMK dengan ini mendesak pihak kerajaan dan syarikat-syarikat telekomunikasi Malaysia supaya mengkaji dan membatalkan semula keputusan ini dengan mengambilkira jumlah keuntungan yang dicatatkan oleh syarikat-syarikat telekomunikasi sebelum ini serta bebanan yang terpaksa ditanggung oleh pengguna terutamanya mereka yang berpendapatan rendah,” tegas beliau.-Tvsnews

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...