Thursday, December 15, 2011

Skandal NFC: Laporan SPRM ke atas Muhyiddin, Noh Omar


               NGO Jingga 13 membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap salahguna kuasa yang dilakukan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar dalam isu penyelewengan National Feedlot Corporation (NFC).

Ketua Koordinator Jingga 13, Fariz Musa dan aktivis NGO itu membuat laporan berkenaan di Pejabat SPRM Selangor, di Shah Alam tengahari tadi.

Laporan ke atas Muhyiddin dibuat kerana beliau menteri yang bertanggungjawab meluluskan projek itu ketika memegang jawatan menteri pertanian antara 2004 hingga 2008.


Turut dinamakan Datuk Mustafa Mohamed yang juga bekas menteri yang memegang porfolio berkenaan dari 2008 hingga 2009.

Menurut Fariz, laporan tersebut berdasarkan kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Seri Azmi Khalid yang memberitahuwang dikeluarkan kepada satu akaun khas NFC sejak 2008 hingga 2009.

Beliau berkata, ia merupakan tindakan salah guna kuasa yang amat nyata apabila wang disalurkan kepada akuan khas tersebut sebelum perjanjian dibuat sepertimana yang ditetapkan prosedur dan peraturan kewangan.

Sedangkan katanya, ia memerlukan kelulusan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bagi disalurkan kepada akaun pengurusan syarikat tersebut.

“JINGGA 13 mempersoalkan bagaimana wang tersebut boleh dikeluarkan sejak 2008 hingga 2009, serta siapakah yang terlibat dalam melulus dan membenarkan penyaluran wang tersebut sebelum perjanjian dimeterai antara Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan NFC yang melibatkan sejumlah besar wang rakyat tanpa mengikut prosedur dan peraturan yang telah ditetapkan,” ujar Fariz.

Katanya, Jingga 13 mengesyaki campurtangan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Jalil dalam penyaluran dana berkenaan kepada NFC yang dimiliki suaminya.

“Kenapa sangat istimewa? Adakah kerana NFC diterajui oleh Datuk Seri Dr Mohamad Ismail dan ahli keluarga yang tidak mempunyai kemahiran dan latar belakang dalam industri penternakan lembu atau kerana beliau ialah suami kepada Datuk Seri Shahrizat Jalil yang merupakan menteri kabinet dan Ketua Wanita UMNO?

“Adakah wujud campurtangan dan salah guna kuasa Datuk Seri Shahrizat Jalil dalam layanan istimewa yang melibatkan sejumlah besar wang rakyat?,” soal beliau.

Sehubungan itu, Jingga 13 mendesak agar satu siasatan dan tindakan oleh pihak SPRM diambil terhadap semua individu terbabit.

“Heret segera penjenayah dan pengkhianat wang rakyat ke muka pengadilan dan dikenakan hukuman yang setimpal berdasarkan peruntukan undang-undang yang telah ditetapkan,” tegasnya.-K/Daily

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...