Saturday, December 17, 2011

Kemelut Felda usaha BN untuk dapatkan wang

    
         Kemelut yang berlaku dalam Felda memberikan bukti jelas bahawa Kerajaan BN kini ketiadaan wang, walaupun cuba disembunyikan oleh para pemimpin Umno.
            Untuk mendapatkan wang terutama bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13, Kerajaan BN terpaksa memanfaatkan Felda dengan pelbagai tindakan, sehingga sanggup mengenakan pelbagai tekanan kepada para peneroka dan pemimpin-pemimpin badan itu yang bertanggungjawab.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, arahan bercuti keluar negara ke atas Pengarah Besar Felda, Datuk Dzulkifli Abd Wahab oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, jelas merupakan campur tangan politik terhadap badan tersebut yang tidak seharusnya berlaku.


Menurutnya, tindakan tersebut dilakukan disebabkan motif tertentu bagi membolehkan pihak kerajaan melaksanakan perancangannya bagi mendapatkan wang melalui badan itu tanpa halangan daripada para pemimpin Felda.

Katanya, realiti itu lebih terserlah apabila diteliti alasan arahan bercuti ke atas Dzulkifli selama lapan bulan ke London sejak 25 November lalu, bagi membolehkan beliau mengikuti Kursus Pengurusan Lanjutan untuk meningkatkan prestasi bagi melakukan tranformasi Felda.

"Tindakan ke atas Datuk Duzulkfli itu adalah cadangan Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad melalui surat yang dihantar kepada Datuk Seri Najib bertarikh 21 November, manakala arahan bercuti pula dikeluarkan menerusi surat yang dikeluarkan oleh Setiausaha Sulit Kanan Perdana Menteri bertarikh 25 November lalu.

"Prestasi Datuk Dzulkifli sudah diakui oleh pelbagai pihak. Orangnya diketahui umum cukup bertanggungjawab, berwibawa dan berintegriti. Alasan yang diberikan itu ternyata tidak masuk akal dan memang boleh dibaca dengan mudah mesej di sebaliknya oleh orang ramai," katanya pada sidang media di Pejabat Agung PAS, di sini, semalam.

Kemelut yang berlaku dalam Felda berpunca dari perancangan Isa dengan sokongan para pemimpin Umno BN untuk memetrai perjanjian pajakan tanah selama 99 tahun antara Felda dan Felda Global Vantures Sdn Bhd.

Tindakan tersebut ternyata akan menggelapkan masa depan Felda dan para peneroka, apatah lagi akan disusuli dengan perancangan Isa selanjutnya untuk menyenaraikan Felda ke dalam Bursa Saham Malaysia yang ternyata akan mendatangkan kesan buruk amat besar terhadap badan itu sendiri.

Katanya, namun Perdana Menteri, Isa dan para pemimpin Umno BN tidak mempedulikan itu semua. Perkara yang penting bagi mereka adalah untuk membolehkan mereka mendapatkan wang, walaupun akan mengorbankan kepentingan rakyat khususnya masa depan para peneroka di seluruh negara.

"Untuk membolehkan perancangan mereka itu berjalan lancar, Perdana Menteri juga bukan sekadar bertindak sedemikian terhadap Datuk Dzulkifli, tetapi juga ternyata tidak langsung menghormati Ketua Peneroka Kebangsaan, Shamsuddin Othman.

"Perdana Menteri dan pemimpin-pemimpin Umno sanggup mengenepikan begitu sahaja segala pandangan Pak Sham yang begitu dihormati oleh para peneroka, sesuai dengan kebolehan dan kedudukan Pak Sham sebagai orang yang bertanggungjawab, berwibawa dan cukup faham dengan segala perjalanan Felda," katanya yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.

Lebih jauh dari itu, tegasnya, Perdana Menteri turut melakukan tindakan yang sama terhadap para peneroka lain di seluruh negara, dengan mengenepikan segala pandangan dan desakan mereka agar menarik balik arahan bercuti ke atas Dzulkifli dan menggugurkan jawatan Isa bagi kepentingan Felda.

"Saya yakin, untuk mengambil hati para peneroka, Kerajaan BN pasti akan memberikan wang kepada peneroka dengan jumlah yang besar nanti atas nama tertentu, kononnya dengan alasan keuntungan awal Felda terutama atas tindakan terkininya," katanya.

Sekiranya benar pemberian itu atas keuntungan Felda ekoran langkah-langkah terkini yang dilakukan, tambah beliau, semua itu sebenarnya hanyalah keuntungan untuk jangka masa pendek sahaja.

"Untuk jangka masa panjang, segala langkah yang ingin dilakukan itu pasti akan merugikan badan itu sendiri. Ini termasuklah cadangan untuk pajakan tanah dan penyenaraian Felda ke dalam Bursa Saham Malaysia.

"Kalau langkah penyenaraian itu menguntungkan, ia diyakini hanya untuk peringkat awal bagi jangka masa pendek sahaja, tetapi untuk jangka masa panjang, ia pasti akan menyebabkan Felda punah-ranah nanti," tegas beliau.-Hrkhdly

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...