Tuesday, December 20, 2011

Dakwat kekal: Jangan ada halangan seperti 2008


           PAS mahu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memberi jaminan bahawa tidak akan ada lagi sebarang halangan untuk menggunakan dakwat kekal pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 seperti yang berlaku pada 2008.
          Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS, Dr Mohd Hatta Ramli (gambar) berkata, biarpun menyambut baik pengesahan SPR untuk menggunakan dakwat kekal itu, namun apa yang dibimbangi sejarah PRU ke-12 pada Mac 2008 lalu akan berulang.


"Kita alu-alukan ianya dilaksanakan. Cuma kita harap tidak ada lagi halangan seperti dakwat lewat sampai dan sebagainya.


"Kita juga nak kepastian berhubung dengan kualiti dakwat tersebut," katanya yang juga ahli parlimen Kuala Krai ketika dihubungi Harakahdaily.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pengesahan Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof bahawa dakwat kekal akan digunakan pada PRU akan datang.

Aziz berkata, SPR juga bersetuju untuk melaksanakan undi awal kepada semua anggota polis dan tentera, termasuk isteri mereka kecuali jika berada dalam tugas dan memohon membuat undian pos.

Kedua-dua pembaharuan yang akan diperkenalkan itu adalah sebahagian kecil dari cadangan jawatankuasa pilihan khas (PSC) parlimen berhubung penambahbaikan proses pilihan raya yang syornya dibentang di Dewan Rakyat baru-baru ini.

Cadangan penggunaan dakwat kekal hampir-hampir digunakan pada PRU ke-12 pada tahun 2008, namun ianya ditarik balik beberapa hari sebelum pengundian.

"Kita juga minta agar SPR memberi penerangan awal kaedah penggunaan (dakwat kekal) supaya mudah untuk kita memberitahu kepada petugas parti yang akan terlibat," kata Hatta yang juga salah seorang anggota PSC itu.

Hatta juga menyifatkan keputusan terbaru SPR itu sebagai kejayaan rakyat yang menuntut penggunaan dakwat kekal sejak sekian lama termasuk melalui himpunan Bersih 10 November 2007 dan terbaru Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu.

"Saya berani katakan, desakan rakyat inilah yang memaksa kerajaan untuk akur menggunakan dakwat kekal.

"Harapan kita supaya penggunaan ini akan mengelakkan mana-mana pihak mengundi lebih sekali," katanya.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...