“Ini adalah satu penyelewengan yang nyata oleh Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil sebagai menteri yang bertanggungjawab kerana dana berkenaan seharusnya diserahkan oleh pegawai kerajaan dari kementeriannya terus kepada rakyat bukan melalui penyelaras BN,” kata ketuanya, Kamaruzaman Mohamad kepada Harakahdaily.
Katanya, Barisan Nasional telah kalah 9 kerusi Parlimen di Wilayah Persekutuan kepada Pakatan Rakyat dalam Pilihanraya Umum ke-12 lepas, dan mereka sewajarnya akur dengan keputusan rakyat.
Tegasnya, sesiapa pun yang memerintah di peringkat Persekutuan wajib menghormati pilihan rakyat itu.
Shahrizat, ujarnya antara pemimpin BN yang kalah dalam pilihanraya lalu tidak boleh sewenang-wenangnya mengambil wang rakyat untuk kegunaan BN, apalagi jika tujuannya adalah atas kepentingan politik.
Sepatutnya, tambah beliau dana itu diberikan kepada ahli parlimen yang menang untuk diagihkan kepada rakyat, bukan kepada orang-orang yang sudah kalah dan ditolak rakyat.
“Jika dalam Perhimpunan Agung Umno yang lepas Shahrizat mengatakan isu National Feedlot Centre (NFC) tiada kaitan dengannya, kali ini MIC Batu mengesahkan isu terbaru ini memang ada kaitan dengan beliau,” katanya.
Justeru, tegasnya DPPWP mahu Shahrizat menjawab, bagaimana penyelaras BN Parlimen Batu, Yahaya Mat Ghani mendapat kuasa untuk menguruskan dana RM2 juta bagi parlimen itu.
Beliau mempersoalkan adakah Yahaya kakitangan kementerian dan ke mana dana RM2 juta itu dibelanjakan.
“Diharap Shahrizat boleh kemukakan segala resit dan bukti agihan yang dibuat atas nama kementeriannya atau berdepan dengan tindakan undang-undang oleh Pakatan Rakyat,” katanya.
No comments:
Post a Comment