Saturday, December 17, 2011

Lebih seribu hadir pelancaran ABU, suri rumah turut berucap

CheGuBard mengingatkan hadirin dosa Umno paling utama  iaitu memperbodohkan orang Melayu.
   
      Lebih seribu hadir pada Rapat Rakyat sempena pelancaran ABU (Asalkan Bukan Umno) di perkarangan Markaz Tarbiyah Pas Pusat, Taman Melewar, malam tadi.
         Turut hadir, Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar, Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM) S.Arutchelvam, penyelaras kebangsaan Hindraf, W Sambulingam dan pimpinan Parti Progresif Sabah (SAPP) Benny Low.

Dipengerusikan Ketua Cabang KEADILAN Rembau, Badrul Hisham Shaharin atau CheGuBard, beliau menegaskan, tiada makna sekiranya rakyat merungut tentang pentadbiram negara, sekiranya mereka sendiri tidak bergerak menghapuskan punca masalah, iaitu Umno dan Barisan Nasional.


“Sebab itu kita akan jelajah ke seluruh negara. Ini pentas suara rakyat. Setiap isu yang dibawa mereka adalah perjuangan kita,” kata CheGuBard mengingatkan hadirin dosa Umno paling utama – iaitu memperbodohkan orang Melayu.

“Kita akan bekerjasama dengan mana-mana gerakan rakyat. Di kampung, di bandar, di Felda, di kampus dan juga di Sabah dan Sarawak,” kata CheGuBard yang turut melancarkan baju-T ABU.
Pada rapat tersebut, wakil masyarakat pelbagai latar belakang turut diberi peluang menyampaikan ucapan masing-masing.

Mereka terdiri dari suri rumah, pekerja kilang, kontraktor kelas F, mahasiswa, eksekutif muda, orang Asal, peniaga pasar malam, malah jurulatih karate dan pengerusi Rela (Ikatan Relawan Rakyat).

Wakil suri rumah dan kaum ibu, Teh Kamaruddin dari Sik, Kedah kecewa dengan sikap kerajaan ‘menghukum’ suaminya, seorang kakitangan awam kerana terlibat dalam gerakan Reformasi pada 1998.

“Suami dipaksa berpindah dari Sik ke Alor Setar, kira-kira 80 kilometer dari tempat asal. Kami tak boleh tinggal di bandar seperti Alor Setar kerana kos hidup yang tinggi,” katanya yang komited akan meneruskan kempen ABU dikalangan suri rumah.

Yusof Tapa, seorang kontraktor kelas F dari Negeri Sembilan pula menyatakan sudah muak mendengar dendangan ‘lagu’ Umno yang kononnya mahu membela orang Melayu.

“Umno ini sifatnya dengki. Dia tak boleh tengok orang lain yang buat kerja dengan baik mendapat pulangan. Jadi dia ‘senaraihitam’ nama kita untuk masukkan kroni dia. Mana dia membela Melayu? soalnya.

Manakala wakil orang Asal, Arsian Toepoeloe dari Chenderiang, Perak berpengalaman sendiri diperdaya Jabatan hal Ehwal Orang Asli (JHEOA)

Katanya, isu tanah yang menjadi maruah orang Asal sehingga hari ini gagal diselesaikan.

“Senator orang Asal yang dibawa ke Dewan Negara itu bukannya mewakili suara orang Asal, tapi suara Umno. Masalah tanah tak selsesai.

“Kalau peneroka Felda dan Felcra boleh dapat tanah, mengapa kami orang Asal tiada hak? Ada Belanjawan 2012 sebut tentang kami?,” soalnya.

Beliau mendedahkan, Akta Orang Asal juga digubal penjajah British, malah Umno tidak memberikan apa-apa kepada mereka.
“Nasib baik kerajaan Selangor ada juga beri geran,” katanya disambut tepukan hadirin.-K/Daily

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...