Perjuangan bagi pilihan raya yang adil dan bersih akan berterusan. Bersih 2.0 bangga kerana meskipun berhadapan dengan segala (bentuk) halangan dan sekatan, kami, rakyat semua lapisan masyarakat, dipaksa berhadapan dengan tindakan menindas polis, untuk datang secara aman dan dalam jumlah yang di luar dugaan untuk menunjukkan semangat cinta kepada negara dan prinsip demi keadilan
Artikel penuh kenyataan Sasterawan Negara A Samad Said.. Pemimpin Bersih 2.0, dengan diwakili Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said hari ini berkata, perhimpunan mereka “satu kejayaan besar” dengan 50,000 dianggarkan hadir memberi sokongan meskipun tidak dapat menyerahkan memorandum tuntutan kepada Yang di-Pertuan Agong.
“Saya tidak pernah melihat rakyat semua kaum bersatu kerana satu matlamat sebelum ini,” kata beliau pada sidang media petang ini.
“Pihak berkuasa nampaknya kasar sangat dan tidak profesional. Saya nampak wanita ditolak sampai jatuh,” kata beliau lagi.
Kata beliau, penyokong perhimpunan Bersih 2.0 adalah pelbagai kaum kali ini berbanding kempen pertama mereka empat tahun lalu.
Seniman berusia 76 tahun ini menyertai perhimpunan ini, yang menuntut pembaharuan pilihan raya bersih dan adil, dengan mengenakan kemeja-T berwarna kuning yang menjadi lambang Bersih 2.0.
Bercakap kepada pemberita di Hotel Midah di sini kira-kira 5 petang tadi, Samad berkata, Bersih 2.0 akan cuba menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong kemudian hari.
Bagaimanapun beliau tidak menyatakan bila.
Katanya, Bersih 2.0 tidak akan mengadakan satu lagi perhimpunan untuk menyerahkan memorandum.
Kepimpinan Bersih 2.0 mengecam polis dengan mendakwa pihak polis bertindak kasar ke atas pertubuhan madani, malah menahan ketuanya Datuk Ambiga Sreenevasan dan ahli jawatankuasa pemandunya Maria Chin Abdullah.
Ambiga merupakan salah seorang daripada lebih 1,000 ditahan hari ini.
Seorang lagi ahli jawatankuasa pemandu Richard Yeoh meminta penyokong-penyokong Bersih 2.0 agar mengenakan pakaian kuning setiap Sabtu bagi menandakan pendirian mereka.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein telah memutuskan Bersih 2.0 sebagai pertubuhan haram berkuat kuasa 1 Julai lalu.
Yeoh berkata perjuangan menuntut pembaharuan sistem pilihan raya belum berakhir lagi.
“Perjuangan bagi pilihan raya yang adil dan bersih akan berterusan. Bersih 2.0 bangga kerana meskipun berhadapan dengan segala (bentuk) halangan dan sekatan, kami, rakyat semua lapisan masyarakat, dipaksa berhadapan dengan tindakan menindas polis, untuk datang secara aman dan dalam jumlah yang di luar dugaan untuk menunjukkan semangat cinta kepada negara dan prinsip demi keadilan,” kata Dr Subramaniam Pillay, seorang lagi ahli jawatankuasa pemandu Bersih 2.0.-TMI
No comments:
Post a Comment