Saturday, July 16, 2011

Pentadbiran Najib Dipenuhi "Golongan Pengampu"-Dr Asri

        Bekas Mufti Perlis, Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin menyifatkan terlalu ramai "golongan pengampu" dalam pentadbiran Umno-Barisan Nasional sehingga menyebabkan parti itu mungkin kehilangan sokongan rakyat pada pilihan raya umum ke-13.
       Dalam pemerintah sekarang semua orang nak tunjuk kononnya dia setia (kepada pemerintah) walaupun kenyataan yang dikeluarkan adalah bodoh, tapi dia rasa tidak mengapa yang penting perdana menteri tahu.

“Dalam Umno bila ada pemimpin bagi kritikan, dia ini dianggap musuh walaupun idea yang diberikan adalah baik, namun ia dianggap bahaya kerana unsur feudal tidak ditinggalkan,” katanya dalam satu program anjuran Kementerian Pengajian Tinggi di ibu negara malam tadi.

Program itu yang banyak menyentuh mengenai Himpunan Bersih 2.0 , menyaksikan Dr Asri membidas pemikiran feudal yang diamalkan Umno-Barisan Nasional dalam sistem pentadbiran negara pada hari ini yang perlu dikikis jika masih mahu mengekalkan kuasa.


Menurut Dr Asri, kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak perlu memilih pimpinan yang boleh membantu menguruskan negara dan bukannya pemimpin yang hanya tahu membodek pimpinan tertinggi.

“Kalau perlu cari pemimpin yang boleh bantu kerajaan bukan kaki pengampu, ramai rakyat sekarang tidak tahu mahu mengundi siapa sebab mereka masih melihat keadaan dan kumpulan ‘third force’ ini jumlahnya lebih besar.

“Ramai yang nak masuk politik supaya dapat bodek pemimpin dan dapat hasil, namun kesannya nanti ia akan meroboh institusi yang ada, sebagai contoh khutbah Jumaat... institusi agama digunakan apa dalil agama yang mengharamkan perhimpunan, dalil agama digunakan untuk memburukkan orang lain.,” katanya.

Sabtu lalu, ribuan rakyat Malaysia telah menyertai Himpunan Bersih 2.0 untuk menuntut pembaharuan sistem pilihan raya.

Program yang dihadiri para intelek itu juga diberitahu oleh Dr Asri bahawa pentadbiran Perdana Menteri pada hari ini umpama “seorang bapa yang menakutkan anak agar tidak ke tempat gelap kerana ada hantu.”

Kata beliau, strategi sedemikian sudah tidak berguna kerana rakyat yang sudah matang dan informasi boleh diperoleh melalui pelbagai cara.

“Saya menggambarkan kerajaan sebagai seorang bapa kepada seorang anak yang menakutkan anaknya agar jangan pergi ke tempat gelap kerana ada hantu, pada waktu kecil anak akan terima tapi bila anak sudah besar dan belajar di universiti ia sudah tidak berguna.

“Kerajaan dan pemimpin sudah terlupa bahawa sekarang bukan lagi zaman 70-an kerana kerajaan sudah tidak lagi boleh menghalang maklumat... dulu memang orang baca Utusan Malaysia tapi sekarang orang sudah tidak baca dan tidak percaya,” katanya.

Malah beliau turut melahirkan kekecewaanya di atas tindakan rakus Putrajaya dalam usaha menyuraikan himpunan pada 9 Julai lalu sehingga mengakibatkan puluhan mengalami kecederaan dan seorang meninggal dunia.

“Itu hak mereka untuk berkumpul, saya bukan menyokong mana-mana pihak tapi ia menyebabkan kita tidak boleh untuk melangkah ke hadapan.

“Saya percaya kalau perdana menteri benarkan, polis benarkan, malah turut membantu melancarkannya saya rasa kerajaan akan dapat kredit... dan saya sangat dukacita cara kerajaan menangani perkara ini,” katanya.-Tvsnews

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...