Saturday, July 9, 2011

Bersih : Kita Berkumpul Di Tempat Letak Kereta Stadium Merdeka

           Penganjur Bersih 2.0 membuat ketetapan rasmi untuk berhimpun di tempat letak kereta Stadium Merdeka  walaupun dilarang polis yang mengugut untuk menangkap sesiapa berpakaian kuning.
           Dalam kenyataannya, Bersih menegaskan pihaknya semakin komited untuk berhimpun secara aman bersama rakyat Malaysia dalam menuntut pilihanraya bebas dan adil.
          'Rakyat Malaysia daripada segenap lapisan telah melalui perjalanan jauh dan penuh cabaran untuk sampai di saat yang genting ini yang bakal mencorakkan sejarah negara kita,” kata Bersih.

“Dengan kurang 24 jam tinggal untuk perhimpunan aman Bersih, tekad kami untuk mengharungi fasa terakhir dan yang paling sukar dalam ranjau ini….adalah lebih kukuh daripada sebelumnya dalam menuntut pilihan raya yang bersih dan adil demi membina Malaysia yang lebih bagus,” tambah kenyataan itu.

Kenyataan itu mencerminkan pendirian muktamad Bersih untuk berhimpun secara aman di Stadium Merdeka meskipun dilarang oleh polis dan Jemaah Menteri.


Malah polis memperolehi perintah mahkamah untuk menyekat penganjur Bersih dan pemimpin pembangkang daripada memasuki kawasan-kawasan tertentu di Kuala Lumpur esok.

Turut disenarai dalam larangan itu adalah pemimpin Pemuda Umno dan Perkasa.
Bersih menegaskan perhimpunannya esok mempunyai matlamat yang jelas, termasuk menuntut supaya daftar pengundi dibersihkan, dan undi pos di kaji semula serta penggunaan dakwat kekal diperkenalkan.

Bersih juga mahukan tempoh berkempen ditetapkan minima 21 hari, akses media yang adil kepada semua pihak manakala institusi awam diperkasakan serta rasuah dan politik kotor dalam pilihanraya dihentikan.

Gabungan 62 pertubuhan bukan kerajaan itu kesal kerana pihak berkuasa mengenakan pelbagai sekatan dalam usaha membatalkan perhimpunan itu.

“Walaupun berdepan dengan tawaran stadium yang dibuat secara tidak ikhlas, dan kemudian dinafikan permit, serta tangkapan, penahanan dan macam-macam lagi, kami telah berusaha bersungguh-sungguh untuk berurus dengan kerajaan secara ikhlas,” menurut kenyataan Bersih.

“Namun segala usaha kami itu dibalas dengan pelbagai sekatan,” tambah beliau.
“Bagaimanapun pada 9 Julai, tidak ada sebarang sekatan yang akan memintas usaha ke arah keamanan dan keadilan. Pada 9 Julai kami akan menegakkan hak perlembagaan kami untuk berhimpun secara aman di Stadium Merdeka,” tambah kenyataan itu.

“Tidak ada mana-mana agensi kerajaan yang berhak untuk melarang rakyat daripada bergerak secara bebas …di ibu negara kita. Tidak ada ugutan dan hasutan yang boleh menafikan kebenaran asas ini,” kata kenyataan itu.

Bersih menegaskan bahawa perkembangan sejak dua minggu lalu yang diwarnai dengan tangkapan lebih 200 orang serta hasutan berbaur perkauman telah menzahirkan kepimpinan tempang kerajaan.

Oleh itu adalah amat penting, lebih-lebih lagi sekarang untuk rakyat yang patriotik untuk bangkit dan bersatu demi menyelamatkan Malaysia daripada tergelongsor lebih jauh ke dalam lurah kegelapan yang gila ini,” tambah kenyataan itu.

Kepimpinan Bersih 2.0 mengulangi ketegasan terhadap tekadnya untuk mendokong perjuangan bersama ini dan akan hadir di Stadium Merdeka pada pukul 2 petang esok.

“Kita akan berkumpul di tempat letak kereta dan percaya pintu (stadium) akan dibuka kepada kita,” tambah kenyataan itu.

“Ini adalah saat penting dalam sejarah dan kami yakin rakyat akan menyambut seruan untuk mempertahankan prinsip-prinsip yang membentuk Malaysia. Bersama-sama kita berjuang untuk mewariskan kepada anak-anak kita sebuah negara yang adil, demokratik, dan penuh dalam kasih sayang untuk satu sama lain,” kata kenyataan itu.-Tvsnews

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...