Saturday, July 9, 2011

Larangan Memasuki Ibu Negara Bukti Umno-BN, Hishammuddin Takut

          Perdana Menteri sendiri telah menasihatkan Bersih 2.0 untuk menggunakan stadium tetapi, pada hari ini kita dapati bahawa barisan Kabinet khususnya Menteri Dalam Negeri tidak memahami arahan mudah ini
            Bukan sahaja mereka tidak membenarkan Bersih 2.0 untuk menggunakan mana-mana stadium di Lembah Klang, malah mereka kini telah mengeluarkan perintah sekatan ke atas 91 individu termasuk semua pemimpin Bersih 2.0. Ini tidak termasuk penahanan sewenang-wenangnya 193 orang sejak beberapa minggu lepas termasuk enam dari Parti Sosialis Malaysia (PSM) di bawah Ordinan Darurat

Artikel penuh kenyataan Lim Guan Eng ...
Tindakan Polis Di Raja Malaysia (PDRM) mendapatkan perintah mahkamah melarang 91 individu daripada memasuki bandaraya Kuala Lumpur esok membuktikan “ketakutan tidak rasional” Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein, kata Setiausaha Agong DAP, Lim Guan Eng.

Guan Eng dalam satu kenyataan medianya berkata, pihaknya sekali lagi menegaskan bahawa beliau akan tetap dengan pendirianya untuk menyertai Himpunan Bersih 2.0 anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) di Stadium Merdeka esok walaupun tidak mendapat permit.


“Ia akan muncul di Malaysia, di mana lelaki yang memegang jawatan tertinggi takut untuk berdepan dengan sekumpulan rakyatnya bagi memperjuangkan hasrat dan hak asasi mereka untuk berhimpun secara aman sekali gus menyuarakan pendapat dalam menangani permasalahan dalam kelemahan pilihan raya di negara ini," katanya.

“Perbuatan mengeluarkan perintah sekatan ke atas 91 individu, dengan menghalang rakyatnya daripada berhimpun dan tidak membenarkan mereka memasuki kawasan-kawasan tertentu di Kuala Lumpur Sabtu ini (esok) sama sekali tidak masuk akal dan hanya mendedahkan ketakutan yang tidak rasional pemimpin Umno-BN, Menteri Dalam Negeri, Hishamuddin Hussein dan pihak polis,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, Himpunan Bersih 2.0 yang disokong Pakatan Rakyat harus diberikan permit serta mendapat kebenaran kerana ia adalah satu perhimpunan aman.

“Kami bersetuju bahawa konflik dan demonstrasi ganas harus dielakkan tetapi dari peringkat awal perancangan perhimpunan Bersih 2.0 ini ia merupakan perhimpunan yang aman. Dan sememangnya tiada sebarang unsur keganasan walaupun pelbagai usaha dilakukan oleh pihak polis dan kerajaan Umno-BN yang menggambarkan sebaliknya," tegasnya.

Malah katanya, perhimpunan Bersih 2.0 telah mendapat perkenan Yang Di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Dimana Seri Paduka telah membuat pertimbangan secara menyeluruh tanpa mengenepikan pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Justeru itu, Seri Paduka sendiri menimbang tempat yang sesuai untuk rakyatnya berhimpun secara aman kepada Pengerusi Bersih, Datuk Ambiga Sreenevasan sekali gus memberikan persetujuan diraja untuk mengadakan perhimpuan tersebut di mana-mana stadium yang penganjur Bersih 2.0 inginkan,” katanya.

Bagaimanapun katanya, Hishammuddin seolah-olah tidak memahami “arahan mudah” yang dititahkan Seri Paduka.

“Perdana Menteri sendiri telah menasihatkan Bersih 2.0 untuk menggunakan stadium tetapi, pada hari ini kita dapati bahawa barisan Kabinet khususnya Menteri Dalam Negeri tidak memahami arahan mudah ini," jelasnya.

“Bukan sahaja mereka tidak membenarkan Bersih 2.0 untuk menggunakan mana-mana stadium di Lembah Klang, malah mereka kini telah mengeluarkan perintah sekatan ke atas 91 individu termasuk semua pemimpin Bersih 2.0. Ini tidak termasuk penahanan sewenang-wenangnya 193 orang sejak beberapa minggu lepas termasuk enam dari Parti Sosialis Malaysia (PSM) di bawah Ordinan Darurat,” katanya.

Semalam polis memperoleh perintah mahkamah melarang 91 individu yang berkaitan dengan Bersih 2.0, Pemuda Umno dan Perkasa daripada memasuki Kuala Lumpur esok.

Selain itu, perintah juga diperoleh untuk menutup sebanyak mana jalan yang ada di ibu negara bagi usaha melumpuhkan perhimpunan Bersih 2.0 esok.

Antara nama disenaraikan ialah Ambiga, Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali, Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin dan anggota jawatankuasa pemandu Bersih Maria Chin Abdullah.

Selain tiga pemimpin tersebut turut tersenarai ialah Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, anaknya Nurul Izzah yang juga Naib Presiden PKR, pemimpin DAP Lim Kit Siang dan Teresa Kok, Setiausaha Agung Perkasa Syed Hassan Syed Ali, Ahli Parlimen Bebas Kulim-Bandar Baharu Datuk Zulkifli Noordin, Presiden Jemaah Islah Malaysia Zaid Kamaruddin, Presiden PAS Datuk Seri Hadi Awang dan Menteri Besar Kelantan Datuik Nik Abdul Aziz Nik Mat serta Ketua Pemuda PAS Nashrudin Hasan.

Kesemua 91 nama itu dilarang memasuki Kuala Lumpur antara pukul 8 pagi dan 6 petang sama ada berjalan kaki atau menaiki mana-mana kenderaaan termasuk pengangkutan awam.

Jika 91 individu terbabit enggan mematuhi dan melanggar perintah tersebut mereka boleh didakwa di bawah Seksyen 188 Kanun Keseksaan.

Bagaimanapun, melalui kenyataan media yang dikeluarkan Bersih 2.0 semalam, pihaknya berkata mereka tetap dengan pendirianya untuk meneruskan perhimpunan itu di Stadium Merdeka walaupun polis mengarahkan Bersih 2.0 untuk mengadakannya di luar Kuala Lumpur.

Malah Bersih 2.0 juga menuntut supaya Najib memberi kebenaran kepada mereka untuk menggunakan Stadium Merdeka.

Bagaimanapun permohonan permit yang dibuat Bersih 2.0 ditolak oleh pihak polis selepas mengambil kira aspek keselamatan.

Polis juga tidak mengeluarkan sebarang permit kepada Pemuda Umno dan Perkasa.

Tambah Guang Eng, beliau turut mempersoalkan apa yang telah berlaku di Malaysia kini apabila pemimpin negaranya sendiri dianggap seperti orang asing.

“Senarai individu yang dihalang bukan sahaja pemimpin Bersih, Ambiga tetapi Datuk Seri Anwar Ibrahim, Nik Aziz, Lim Kit Siang, Teresa Kok, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu dan pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat yang lain. Bagaimana begitu ramai pemimpin yang telah dipilih di negara ini ditahan kerana kononnya mempunyai elemen-elemen bahaya?” soal Guan Eng.-Tvsnews

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...