Sunday, July 10, 2011

Bersih: Kami Akan Teruskan Perjuangan

Kenyataan penuh Bersih 2.0

        Bersih 2.0 bangga kerana rakyat Malaysia pelbagai kaum bersatu untuk mengharungi segala kekejaman polis dan keluar dalam jumlah yang begitu besar untuk menzahirkan rasa kasih kepada negara dan prinsip keadilan.
        Kami amat terkilan dengan penangkapan ratusan orang tanpa sebarang justifikasi. Kami turut menyelar penahanan Datuk Ambiga Sreenevasan dan Maria Chin Abdullah yang menganggotai Jawankuasa Pemandu Bersih 2.0.

Tindakan jenayah yang berlaku hari ini adalah didalangi oleh polis semata-mata apabila mereka melepaskan gas pemedih mata dan air berkimia dalam jumlah begitu banyak ke atas orang awam yang tidak melakukan sebarang kesalahan.

Polis juga menyerang mereka yang berkumpul dengan aman, dengan belantan sehingga ada yang mengalami kecederaan teruk.


Tindakan polis menembak gas pemedih mata dalam perkarangan Hospital Tung Shin bukan sahaja membahaykan kesihatan rakyat yang berlindung di sana tetapi juga menjejaskan pesakit hospital.

Serangan ke atas hospital adalah jenayah yang amat tidak wajar yang dilakukan oleh polis terhadap rakyat yang hanya menggunakan hak perlembagaannya untuk berhimpun secara aman.

Kami amat berbangga terhadap tahap displin dan toleransi yang dipamerkan oleh segenap rakyat Malaysia yang berani turun padang untuk menegakkan kebenaran hari ini.

Perhimpunan hari ini bukanlah titik akhir perjuangan tetapi hanya satu lagi langkah dalam perjalanan untuk menuntut pilihanraya adil dan telus di Malaysia.

Kempen Bersih akan diteruskan untuk menuntut pembaharuan proses pilihanraya dan pembebasan semua yang telah ditahan.

Kempen ini akan berterusan di mahkamah, di koridor kuasa negara dan di sanubari rakyat.

Sungguhpun usaha kita untuk menyampaikan memorandum kepada Yang diPertuan Agong tidak dapat disempurnakan hari ini, kami akan membuat persiapan yang diperlukan untuk menyerahkan memorandum itu apabila polis kembali bertenang,

Kami menyeru semua rakyat Malaysia untuk terus bekerjasama bagii mengujudkan proses pilihanraya adil dan telus. Didorong dengan semangat cekal dan komitmen utuh rakyat sekalian, kami tidak akan leka dalam usaha untuk bersatu dan bekerjasama demi membina sebuah Malaysia yang lebih baik- Tvsnews

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...