Jika SPR dan kerajaan tidak melaksanakan lapan tuntutan 'Bersih' ini, kerajaan yang dipilih ini akan melakukan kesalahan yang lebih besar dalam pemerintahan. Kerajaan yang kini rasuah akan terus mengamalkan rasuah dan mementingkan kuasa yang mereka menang melalui pilihan raya yang tidak telus dan kotor. SPR pula secara terang-terangan double standard dan sentiasa menyebelahi UMNO-BN sehingga apa yang dilakukan UMNO-BN dalam pilihan raya, walaupun bertentangan dengan undang- undang tidak diambil apa-apa tindakan.
Secara jelas di sini saya lihat, SPR bukan menjadi orang tengah atau badan yang mengendalikan pilihan raya tapi sebagai lambang kepada kemusnahan sistem pilihan raya di Malaysia. Ciri-ciri demokrasi yang sepatutnya ada dalam SPR tidak pernah wujud dan lahirnya SPR hanya untuk melindungi dan menyokong UMNO-BN dalam setiap kali pilihan raya diadakan. Apa pun lapan tuntutan yang dipohonkan 'Bersih' adalah rasional dan ianya harus diterima pakai oleh SPR.
Lapan tuntutan Bersih adalah agar SPR membersihkan senarai undi, mereformasikan undi pos, gunakan dakwat kekal, akses media yang bebas dan adil, tempoh kempen minimum 21 hari, diperkukuhkan institusi awam, hentikan rasuah dan hentikan politik kotor.
Artikel penuh kenyataan Teresa Kok..
DAP Selangor mendesak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) agar melaksanakan lapan tuntutan BERSIH 2.0 sekiranya badan itu tetap menganggap mereka adalah telus dan adil.
Pengerusinya, Teresa Kok turut membidas Timbalan Pengerusi SPR, Wan Ahmad Wan Omar yang menuduh himpunan BERSIH 2.0 telah diperalatkan Pakatan Rakyat untuk menawan Putrajaya pada pilihan raya umum akan datang.
“Wan Ahmad telah menghina Himpunan Bersih 2.0 apabila mengatakan ia adalah matlamat Pakatan Rakyat dan ia jelas bahawa SPR sendiri bukan satu badan bebas dan tidak boleh diharap untuk mendukung hak rakyat bagi melaksanakan pilihan raya bersih dan adil,"katanya.
“Wan Ahmad meminta agar Bersih menjauhkan diri dengan Pakatan Rakyat kerana Bersih adalah satu pertubuhan yang mewakili rakyat dan ia perlu menggugurkan penyertaan semua parti politik bagi mengelak tuduhan selepas Himpunan Bersih kali pertama pada 2007," katanya dalam satu kenyataan.
Teresa yang juga Pengerusi DAP Selangor berkata, Bersih kini terdiri daripada 60 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan tiada parti mana-mana politik.
Semalam, Wan Ahmad mendakwa Pengerusi Bersih Datuk Ambiga Sreenevasan telah diperalatkan oleh pemimpin politik dalam Himpunan Bersih 2.0 kerana ingin meneruskan perhimpunan pada 9 Julai.
“Saya rasa Datuk Ambiga dah terikat benar, dia dah tak boleh tarik diri lagi, dia dah diperalatkan.
“Bersih sekarang bukan Bersih yang saya kenal dulu. Bersih sekarang sudah berubah, dah jadi begitu kusut, saya rasa dah tak bersih lagi,” katanya.
Wan Ahmad berkata, hakikatnya perhimpunan haram yang dirancang pada 9 Julai ini menjadi landasan kepada parti-parti pembangkang untuk menunjukkan usaha mereka menawan Putrajaya.
Tegas Teresa, dakwaan bahawa Bersih membawa matlamat Pakatan Rakyat adalah tidak benar sama sekali kerana NGO itu secara konsisten turut mengajak Barisan Nasional (BN) untuk sama-sama menyertai perhimpunan aman itu.
“Tambahan pula, Bersih secara konsisten mahu bekerjasama dengan semua parti politik di Malaysia termasuk Barisan Nasional untuk memberikan sokongan terhadap lapan tuntutan reformasi pilihan raya tapi ia ditolak pemimpin Barisan Nasional.
“Jika SPR dan kerajaan tidak melaksanakan lapan tuntutan ini, kerajaan yang dipilih ini akan melakukan kesalahan yang lebih besar dalam pemerintahan yang mana kerajaan yang mengamalkan rasuah dan mementingkan kuasa menang melalui pilihan raya yang kotor dengan SPR dilihat berat sebelah sehingga membolehkan pilihan raya diadakan dengan kotor dan tidak telus,” katanya.
Jelas beliau, lapan tuntutan yang dikemukakan Bersih adalah relevan dan ia harus dilaksanakan SPR.
Lapan tuntutan Bersih adalah agar SPR membersihkan senarai undi, mereformasikan undi pos, gunakan dakwat kekal, akses media yang bebas dan adil, tempoh kempen minimum 21 hari, diperkukuhkan institusi awam, hentikan rasuah dan hentikan politik kotor.
Bersih bersama Pakatan Rakyat dan aktivis parti bersedia menggerakan Himpunan Bersih 2.0 menuntut pilihan raya adil dan bebas sebagai kesinambungan himpunan yang kali pertama diadakan pada November 2007.
Kata Teresa, SPR sepatutnya mengambil kira pandangan yang dikemukakan Bersih itu dan bukan bertindak menolaknya.
“Maka Wan Ahmad seharusnya bersyukur bahawa Bersih mempunyai keberanian dan integriti untuk melakukan reformasi sistem pilihan raya yang SPR tidak mampu lakukan dan memberi jaminan akan mendapat sokongan penuh pada 9 Julai.
“Sebagai timbalan pengerusi SPR, Wan Ahmad seharusnya mengiktiraf dan menerima lapan tuntutan Bersih untuk melakukan reformasi dalam sistem pilihan raya yang akan menjadikan SPR benar-benar bebas, lebih berkuasa dan menjadi agensi yang dihormati,” katanya.-Tvsnews
No comments:
Post a Comment