Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menyokong penuh pelaksanaan program 'rakyat berpakaian kuning setiap Sabtu' sebagai usaha berterusan menuntut lapan perkara bagi pembaharuan pilihan raya di negara ini seperti yang dicadangkan Jawatankuasa pemandu BERSIH 2.0.
Naib Presiden PAS, Mahfuz Omar berkata usaha tersebut selari dengan pendirian parti yang mahukan proses pilihan raya yang bersih dan adil dapat dizahirkan di negara ini.
"PAS menyokong penuh usaha itu dan sebelum ini pun kita telah berkongsi pendapat seumpama ini kepada umum bahawa setiap sabtu masyarakat dan warganegara seluruh negara ini agar mengenakan pakaian atau apa sahaja yang berwarna kuning pada tubuh mereka," kata beliau.
Tambahnya lagi, selain ia disifatkan sebagai lanjutan usaha menuntut pilihan raya yang bersih dan adil, ia turut dilihat sebagai bukti kesungguhan rakyat yang mahukan keadilan dalam sistem demokrasi berparlimen.
Mengulas lanjut perkara yang sama, Mahfuz yang juga ahli parlimen Pokok Sena berkata, pihaknya akan menggunakan segala medium media yang dimiliki mereka untuk mengerakkan rakyat untuk bersama-sama merialisasikan usaha ini.
"Ini yang kita mahukan untuk mengajak rakyat menterjemahkan hasrat dan tuntutan Bersih, dan perlu diingatkan sekali lagi bahawa hasrat Bersih adalah hasrat rakyat dan suara rakyat yang mana mahukan perjalanan sistem pilihanraya yang demokratik di negara kita,"kata beliau.
"Tuntutan ini juga akan melahirkan sebuah kerajaan baru yang akan terbentuk dengan penuh keamanan dan kebertanggungjawaban yang tinggi,"tambah beliau lagi.
Terdahulu, Pengerusi Bersih 2.0, Datuk S Ambiga meminta rakyat memakai apa-apa sahaja yang berwarna kuning pada setiap Sabtu sebagai menunjukkan sokongan mereka kepada tuntutan 62 NGO gabungannya itu.
Ambiga berkata walaupun perhimpunan Sabtu lalu mendapat sambutan luar biasa rakyat, tetapi tugasnya membuat lapan tuntutan bagi sistem pilihan raya bersih dan adil di negara ini masih belum selesai.
Sehubungan itu, Bersih 2.0 mendesak supaya Suruhanjaya Siasatan Diraja ditubuhkan segera bagi meneliti secara keseluruhan sistem pilihan raya di negara ini.-Tvsnews
No comments:
Post a Comment