Sunday, November 25, 2012

‘SaT1M’ sesuai banteras skandal tanah Umno BN


Cadangan Adun Seri Muda, Shuhaimi Shafiei untuk menggunakan istilah “Sapu Tanah 1 Malaysia” (SaT1M) bagi merujuk kepada skandal pemilikan tanah di Selangor oleh Kerajaan Umno BN dipersetujui Adun Sekinchan, Ng Suee Lim.

Istilah itu dianggap relevan, kata Shuhaimi kerana ia berkait rapat dengan penglibatan Ketua Pembangkang Dewan Negeri Selangor (DNS), Datuk Mohd Satim Diman dalam isu pembelian tanah dengan harga murah, lapor Selangorku.


“Saya mencadangkan perkataan sapu tanah itu diganti dengan istilah lebih sesuai kerana cara pengambilan tanah oleh Umno BN. Sebagai penghargaan kepada Sri Serdang, kita tukar kepada Sat1M bagi menggambarkan kepakaran Sri Serdang pernah menjual tanah November 2011,” katanya.

Dalam pada itu, Suee Lim mendedahkan 23 lot tanah di tujuh daerah seluruh Selangor dari 1999 hingga 2008 yang diperoleh ketika era pentadbiran Umno-BN dianggarkan bernilai tidak kurang daripada RM300 juta.

Beliau turut mempersoalkan bagaimana tanah berkeluasan 33.5 ekar itu hanya dikenakan bayaran premium serendah RM1 untuk satu kaki persegi.

“Ramai rakyat mempersoalkan bagaimana pengurusan tanah 24 lot tanah yang komersial itu boleh diluluskan kepada Umno, MCA, MIC dan Gerakan? Setelah diteliti, harga kesemua tanah itu tidak kurang daripada RM300 juta.

“Bagaimana premium itu boleh dikurangkan sehingga harga begini? Siapa yang duduk dalam jawatankuasa tanah pada ketika itu? Inilah perangai Umno BN yang kononnya ingin membela hak rakyat, sentiasa memalukan dulu, kini dan selamanya,” katanya.

Sementara itu, ketika menjawab pertanyaan daripada Suee Lim berhubung pemilikan tanah, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, Kerajaan Negeri menggunakan sistem terbuka (sistem digital) tanpa perlu merujuk kepada pejabat daerah.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri bercadang untuk meneliti semua pemilikan tanah bagi memastikan ia dilakukan secara tertib tanpa wujudnya penyalahgunaan kuasa oleh mana-mana pihak.

“Sekiranya pembelian tanah itu tidak digunakan seperti yang dicadangkan, maka Kerajaan Negeri berhak untuk mengambil semula tanah itu. Kita perlu meneliti dokumen pemberian dan jika wujud salah guna kuasa, maka kita boleh ambil tindakan undang-undang,” katanya.- Harakahdaily.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...