Thursday, November 1, 2012

KASE sedia peguam selesai saman AES


Kempen Anti Saman Ekor (KASE) menyediakan lebih 100 peguam untuk membantu orang ramai yang menerima saman Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) menyelesaikan kes tersebut di mahkamah.

Pengerusinya, Datuk Mahfuz Omar berkata, penerima saman tidak perlu khuatir dan disarankan tidak membayar saman tersebut.

"Kerajaan perlu tarik balik saman yang telah dikeluarkan sejak 13 Oktober 2012.


"Jika kerajaan enggan berbuat demikian saya seru mereka yang sudah menerima saman AES untuk tidak membuat bayaran kompaun sebanyak RM300 itu, ikut arahan yang tertera di kertas saman untuk pergi ke mahkamah dan KASE sedia beberapa orang peguam untuk bantu dalam kes ini," katanya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu turut berkata, saman yang dikeluarkan mengelirukan orang ramai apabila terdapat saman yang diterima menggunakan seksyen79(2) tetapi kesalahan pengguna jalan raya itu adalah melebihi had laju.

"Seksyen ini bukan berkaitan had laju tetapi pelanggaran arahan dan isyarat lalu lintas. Di kertas saman itu juga tertera kompaun minima adalah RM300, tetapi sebenarnya adalah tidak melebihi RM500.

"Mengikut seksyen ini juga pengguna jalan raya boleh menggunakan budi bicara mahkamah yang mana kemungkinan kompaun itu boleh dikurangkan menjadi RM50 atau boleh dibebaskan dengan amaran. Saman ini celaru dan keliru, oleh itu jangan bayar kita sedia peguam,
" katanya yang juga Naib Presiden PAS.

Sementara itu Penasihat Undang-undang KASE Zulazmi Shariff mendakwa, pihak syarikat Beta Tegap Sdn Bhd dan Ates Sdn Bhd yang menguruskan kamera AES itu menggunakan kenderaan menyerupai penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalanraya (JPJ).

"Maklumat yang diterima dua syarikat ini menggunakan kenderaan syarikat jenis Frontier yang mempunyai warna dan logo yang menyerupai kenderaan JPJ.

"Ini satu bentuk penyamaran. Saya minta JPJ jawab perkara ini kerana kita tidak mahu ada pihak sewenangnya melakukan sekatan jalan raya dengan menggunakan kenderaan yang menyerupai pihak berkuasa," katanya.-Harakahdaily

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...