Friday, November 2, 2012

Jangan guna 'alasan kartun' naik harga barang


Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar mengingatkan kerajaan supaya menggunakan alasan munasabah untuk menaikkan harga barang dan bukan "alasan kartun".

Dengan mengambil contoh alasan kerajaan untuk menaikkan harga gula, beliau mempersoalkan "apakah dengan menaikkan harga gula, kita boleh mengurangkan penyakit kencing manis?"

"Alasan yang diberikan oleh kerajaan bahawa ini baik untuk kesihatan kerana apabila harga gula mahal, orang kurang makan gula.


"Akan tetapi apakah munasabah gula mahal, orang kurang makan gula?" Ahli Parlimen Pokok Sena itu mempersoalkan alasan tersebut ketika membahaskan perkara itu di Dewan Rakyat.

Sambil mengemukakan harga gula yang sentiasa naik dari masa ke semasa, Mahfuz berkata, "kalau ikut logik kerajaan apabila berlaku kenaikan tidak ada penyakit kencing manis, tetapi wad kencing manis ramai, penuh".

Sambil mengaitkan dengan statistik yang beliau kemukakan dalam perbahasan sebelum itu, beliau menyatakan, angka penyakit kencing manis terus meningkat malah yang sangat kritikal.

"Adakah munasabah maknanya hujah apabila hendak kurangkan penyakit kencing manis, kita naikkan harga gula?

"Lepas ini hendak kurangkan penyakit darah tinggi, naikkan harga garam. Hendak mengurangkan penyakit kolesterol, naik harga sotong dan udang... Hendak mengurangkan penyakit gout," kata Mahfuz.

Kalau hendak mengurangkan penyakit obesiti, adakah menaikkan harga tepung, sebab makan tepung banyak jadi gemuk, beliau mempersoalkan lagi.

"Gunalah alasan yang munasabah. Ini bagi alasan yang jadi kartun," katanya.

Beliau menyifatkan kerajaan sendiri yang mendorong kepada kenaikan harga barang yang berangkai.

"Kenaikan harga gula ini sudah tentu dia akan mengheret kepada kenaikan-kenaikan barangan yang menggunakan gula," katanya.

Mahfuz juga menolak dakwaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kononnya Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) boleh membantu rakyat meringankan kos sara hidup rakyat akibat daripada kenaikan harga barang.

Bantuan tersebut, katanya, "tidak mampu mengatasi masalah kenaikan harga barang yang berlaku saban hari".

Malah, Mahfuz melihat kenyataan Perdana Menteri itu sebagai pengakuan kerajaan "bahawa berlaku kenaikan harga barang".- Harakahdaily

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...