Lee Chong Wei, wira badminton negara telah selamat bernikah dengan gadis pilihan hati, Wong Mew Chew dalam majlis yang penuh gilang gemilang. Majlis tersebut pastilah menjadi sebahagian daripada sejarah besar buat kedua mempelai yang pastinya telah lama menanti untuk menjalani hari besar mereka, meraikan cinta dan kasih sayang selamanya.
Kita ucapkan selamat pengantin baru kepada keduanya. Moga kekal sehingga ke anak cucu.
Namun selain perkahwinan yang kekal bahagia, apa yang pasti akan kekal adalah satu titik hitam yang amat besar dalam sejarah majlis tersebut yang akan menjadi kelompangan maha jelik dalam kisah cinta Chong Wei serta pastinya album pernikahan mereka berdua adalah kewujudan makhluk aneh di antara kedua mempelai di meja pengantin.
Adalah menjadi adat dalam mana-mana majlis perkahwinan, tidak mengira agama, keturunan mahupun latar belakang, bahawa pasangan pengantin diraikan sebagai raja sehari dan harus beriringan bersama-sama, berpegang tangan, berbisik kata-kata cinta janji setia. Pantang besar sebenarnya untuk memisahkan kedua pengantin pada hari mereka diraikan.
Kita melihat betapa gahnya posisi isteri Perdana Menteri di antara kedua pengantin yang melahirkan rasa meluat maha hebat di kalangan rakyat Malaysia yang menonton majlis tersebut secara langsung di kaca televisyen. Ramai yang bertanya di laman sosial Twitter dan Facebook, “Siapa dia pengantin Chong Wei sebenarnya?”
Menarik juga ‘perlibahasa’ yang tersebar di Facebook; ‘kancil sama kancil menikah, gajah menyepit kat celah’. Ini mungkin kelakar bagi sesetengah pihak, mungkin juga tidak. Namun inilah dia reaksi yang terhasil dari rasa jengkel orang ramai dengan apa yang mereka saksikan.
Sejarah akan merakamkan saat paling malang buat kedua mempelai yang sama cantik sama padan ini apabila wanita yang mendakwa dirinya First Lady of Maalaysia telah melabuhkan punggungnya di kerusi yang memisahkan antara pasangan pengantin di meja utama.
Ya betul, Chong Wei wira badminton negara. Tetapi tidak perlulah untuk jamuan makan di kenduri kahwinnya pun mesti ada jaring dan penghadang antara beliau dan permaisuri hatinya. Hatta mahu bersembang dengan isterinya pun sampai terpaksa merenggangkan leher dan badannya, seolah-olah sedang mencuba untuk mengambil pukulan smash dari Lin Dan.
Isteri Perdana Menteri telah mengganggu majlis dengan kehadirannya yang mencuri tumpuan di posisi paling ulung, di kerusi sebelah kiri pengantin lelaki. Begitu sombong sekali meletakkan dirinya sebagai fokus utama majlis orang.
Kesombongan ini melambangkan bongkaknya para penguasa dari kalangan UMNO dan Barisan Nasional yang merasakan dirinya mulia dan mempunyai kedudukan tinggi sehingga merasa dirinya layak dimuliakan sebegitu rupa walaupun mencacatkan majlis bersejarah dalam kehidupan orang lain.
Chong Wei dan isteri mungkin akan terpaksa berlakon konon bebesar hati di atas kehadiran ‘First Lady of Malaysia’ meskipun kehadiran beliau itu telah mencacatkan majlis serta membangkitkan rasa meluat di kalangan orang ramai.
Namun pasti akan ada sekelumit rasa menyesal di lubuk sanubari wira badminton negara itu apabila suatu hari nanti setelah Putrajaya diambil alih oleh Pakatan Rakyat, dan beliau sudah mampu menyuarakan penentangan beliau terhadap Datin Seri Rosmah Mansor; album perkahwinannya tetap akan dihiasi wajah isteri bekas Perdana Menteri selama-lamanya.
Pun begitu, kita doakan supaya kedua pengantin terus tabah dan bersabar dengan cemuhan orang ke atas majlis mereka yang dirosakkan oleh keangkuhan dan kesombongan manusia yang merasa dirinya berkuasa dan mulia.
Rasa menyampah yang semakin menggunung tinggi di kalangan rakyat pro-Pakatan Rakyat terhadap Isteri Perdana Menteri nampaknya kian berjangkit kepada penyokong UMNO juga yang tidak aplogetik langsung apabila dengan pantas mereka membandingkan Datin Seri Rosmah dengan isteri Timbalan Perdana Menteri yang bezanya seperti langit dengan bumi.
Itu belum kita bandingkan Datin Seri Rosmah dengan isteri bakal Perdana Menteri Malaysia, Datin Seri Wan Azizah. –Roketkini.com
No comments:
Post a Comment