Thursday, November 8, 2012

Cubaan Utusan label DAP ‘kafir harbi’ gagal


Cubaan Utusan Malaysia untuk melaga-lagakan orang Islam dengan bukan Islam dengan melabel DAP sebagai ‘kafir harbi’ telah gagal apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom telah menyatakan bahawa Majlis Fatwa Kebangsaan tidak pernah mengeluarkan fatwa yang menggelarkan orang bukan Islam sebagai ‘kafir harbi’.

Dalam jawapannya kepada Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Parlimen semalam, Jamil Khir telah berkata bahawa apa-apa kenyataan yang menggelarkan orang bukan Islam sebagai ‘kafir harbi’ atau ‘kafir zimmi’ hanya pendapat peribadi dan orang Islam tidak terikat dengan pendirian tersebut.

 
“Utusan telah membezakan DAP sebagai ‘kafir harbi’ berbanding MCA atau MIC sebagai ‘kafir zimmi’ yang telah 'menerima negara Islam dan hudud',” ujar Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam satu kenyataan.
.


Dari segi sejarah, katanya frasa “kafir harbi” telah digunakan untuk merujuk kepada orang bukan Islam yang memusuhi Islam, di mana kematian mereka dibolehkan atau diwajarkan dalam suasana perang kerana mereka dilihat mencuba untuk membunuh orang Islam.

Dalam erti kata lain, katanya maksud tersirat Utusan adalah untuk menyarankan keganasan terhadap pemimpin-pemimpin DAP, walaupun DAP tidak pernah membunuh atau mencederakan walaupun seorang Islam atau Melayu.

Seperti mana DAP, ujarnya PAS juga tidak pernah membunuh walaupun seorang bukan Islam atau bukan Melayu, tetapi masih lagi dijadikan momok yang mengancam keselamatan bukan Melayu.

Sebaliknya, jelas beliau DAP telah kehilangan ahli seperti Teoh Beng Hock yang ditemui mati di perkarangan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) sementara ahli-ahli PAS telah dibunuh dalam insiden Kampung Memali 1985.

“Walaupun difitnah Utusan, tiada tindakan diambil terhadap akhbar tersebut. Pemimpin-pemimpin DAP harus bersatu menentang tindakan-tindakan terdesak oleh media arus perdana untuk memberi kemenangan kepada BN dalam pilihan raya umum yang akan datang,” ujarnya yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang.-Harakahdaily

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...