Friday, November 2, 2012

Pulau Pinang Luluskan Undang-undang ‘Anti Lompat Parti’


Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang telah meluluskan Enakmen Perlembagaan Negeri Pulau Pinang (Pindaan) 2012 untuk membanteras budaya lompat parti di negeri itu.

Undang-undang tersebut memperuntukan bahawa seseorang ahli Dewan Undangan Negeri hendaklah mengosongkan kerusinya sekiranya dia melepaskan atau dilucutkan keahliannya, atau berhenti daripada menjadi ahli parti politik atas apa-apa jua sebab.

Ia juga menyatakan seorang ahli yang dipilih sebagai calon bebas hendaklah mengosongkan kerusinya sekiranya dia menyertai suatu parti politik.


Ia juga memperuntukkan sekiranya seorang ADUN bertukar parti politik, kerusinya akan dianggap kosong secara automatik.

Bila ini berlaku, Yang di-Pertua Dewan hendaklah memberitahu Suruhanjaya Pilihan Raya akan kekosongan itu.

Berucap di dalam sidang Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata pindaan tersebut bagi menegakkan integriti dan akauntabiliti awam serta memulangkan kuasa demokratik untuk memilih kerajaan dan wakil rakyat kepada rakyat.

“Rakyat berhak untuk memilih ataupun untuk menolak sesebuah kerajaan atau seseorang wakil rakyat melalui pilihan raya yang bebas dan adil.

“Siapa menjadi wakil rakyat dan siapa membentukkan kerajaan, inilah perkara-perkara yang hendaklah diputuskan oleh rakyat dalam pilihanraya yang bebas dan adil,” kata Guan Eng.

Pindaan tersebut mengecualikan keadaan di mana seorang ADUN berhenti daripada menjadi ahli parti politiknya akibat pembubaran atau pembatalan pendaftaran partinya.

Atau seorang ADUN melepaskan keahlian partinya atas sebab pemilihannya sebagai Yang di-Pertua Dewan.-Selangorku

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...