Friday, January 27, 2012

Jika popular, kenapa Najib takut berdebat?


               Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sepatutnya tidak perlu takut untuk menyambut cabaran debat yang dikemukakan Datuk Seri Anwar Ibrahim, apatah lagi beliau dikatakan lebih popular berbanding Ketua Pembangkang itu.
              Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Pusat, Riduan Mohd Nor berkata, dengan populariti Najib yang dikatakan sedang meningkat naik, maka cabaran debat tersebut adalah peluang terbaik untuk beliau mengutarakan visi dan misi beliau.

"Populariti Datuk Seri Najib Tun Razak dikatakan semakin baik dan mengalahkan populairiti Datuk Seri Anwar Ibrahim seperti yang dinyatakan oleh Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.


"Dengan populariti yang baik dan meningkat naik, tidak wajar Datuk Seri Najib melepaskan peluang ini untuk menerima pelawaan debat yang sangat ditunggu-tunggu oleh semua rakyat Malaysia," ujar Riduan.

Menurut beliau lagi, banyak pihak sedang ternanti-nanti kedua-dua pemimpin utama negara itu bersemuka di atas satu pentas bagi melihat hujah yang dikemukakan oleh pemimpin tersebut.

Malah baginya, debat adalah suatu dimensi politik baru yang perlu diterokai oleh kedua-dua pemimpin negara ini.

Suasana juga ujarnya sudah berubah di mana rakyat sudah semakin terbuka dan bijak dalam menilai sesuatu maklumat yang diterima.

Rakyat tegasnya memerlukan suatu saluran bagi mendapatkan suatu informasi berharga bagi menajamkan pemerhatian mereka terhadap politik negara dan debat terbuka adalah langkah terbaik untuk semua.

"Jika selama ini, rakyat terbelenggu dengan hanya maklumat dari sebelah pihak sahaja.

"Dengan cengkaman media yang berat sebelah, ditambah pula dengan propaganda yang memburukkan imej pemimpin pembangkang di negara ini sejak sekian lama, wacana debat adalah perlu bagi menilai pandangan kedua-dua tokoh terbabit," tegasnya.

Mengulas lanjut, Riduan berkata, debat yang bakal dianjurkan ini bakal menjadi suatu peristiwa bersejarah kerana pemimpin negara berjiwa besar sanggup duduk semeja dan berhujah dengan Ketua Pembangkang.

"Oleh itu, Datuk Seri Najib tidak perlu risau dan gentar bagi menghadapi Datuk Seri Anwar Ibrahim di atas pentas perdebatan.

"Yang diadili bukan siapa menang atau kalah, yang penting siapa yang benar dan siapa yang salah. Jika Datuk Seri Najib di pihak yang benar, apa yang perlu ditakutkan," soalnya tegas.-Hrkhdly

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...