Pengerusi bersamanya, Datuk Ambiga Sreenevasan pada sidang media hari ini berkata, kempen JOM 100 bertujuan mengajak seramai mungkin pengundi berdaftar untuk keluar mengundi bagi mencapai sasaran 100 % keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 akan datang.
Pada PRU ke-12 tahun 2008, seramai 8.16 juta rakyat menunaikan tanggungjawab mereka mengundi untuk memilih wakil rakyat masing-masing.
Jumlah itu merangkumi 76% pengundi berbanding jumlah keseluruhan yang layak mengundi iaitu seramai 10.7 juta.
Jumlah itu tidak termasuk hampir 7 juta lagi yang berumur lebih 21 tahun yang tidak mengundi ekoran tidak mendaftar sebagai pengundi.
"Kempen ini akan dijalankan ke seluruh negara. Kita akan didik rakyat untuk menunaikan hak mereka.
"Kita akan tekankan betapa penting untuk mereka keluar mengundi," katanya sambil memaklumkan kempen jelajah mereka akan bermula selepas perayaan Tahun Baru Cina.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur Selangor di sini pagi ini.
Turut serta pada sidang media itu, Pengerusi Bersama Bersih yang baru dilantik, Datuk A.Samad Said.
Selain mekanisma forum, kempen itu juga akan memaksimakan penggunakan jaringan media sosial seperti Facebook, Twitter dan web.
Menurut Ambiga lagi, sasaran 100% keluar mengundi adalah tidak mustahil untuk dicapai jika rakyat mendapat kesedaran itu.
Malah ujarnya, apa yang lebih penting, jika lebih ramai keluar mengundi, ianya diyakini dapat mengatasi segala manipulasi pilihan raya oleh pihak tertentu.
Kempen ini juga kata Ambiga, turut mensasarkan pengundi yang berada di luar negara agar pulang menunaikan tanggungjawab mereka.
"Kami seru kepada rakyat Malaysia yang berada di luar negara, tolong balik dan mengundi," katanya.-Hrkhdaily
No comments:
Post a Comment