Thursday, January 19, 2012

BN beli undi: Bukti perlu reformasi pilihan raya – Bersih

  
                Pengakuan bekas menteri kerajaan Barisan Nasional bahawa Umno menggunakan wang untuk membeli undi, membuktikan reformasi pilihan raya perlu dilaksanakan segera di negara ini.
               Ahli Jawatankuasa Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah berkata, kenyataan Tan Sri Datuk Abdul Kadir Sheikh Fadzir itu perlu dipandang serius kerana ia menunjukkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), masih gagal menjalankan peranannya dengan baik.

“Ini adalah bagus kerana beliau (Abdul Kadir) beritahu kita dan ini pun jelas menunjukkan Suruhanjaya Pilihan Raya masih belum laksana tugas mereka. SPRM pun perlu siasat perkara ini,”


“(Justeru), adalah penting sistem pilihan raya direformasikan dan dibersihkan sebelum PRU-13,” katanya kepada keadilandaily.

Semalam, Abdul Kadir Sheikh Fadzir mengaku mengalami pengalaman itu sendiri dengan memberi RM200 hingga RM1,000 dalam kempen pilihan raya Barisan Nasional (BN) untuk mendapat undi.

Menurut Maria, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu menyiasat pendedahan tersebut dan segera melaksanakan reformasi pilihan raya sebagaimana lapan tuntutan Bersih.

“Selagi reformasi tidak berlaku, pilihan raya tidak boleh diadakan. Lagi pun Perdana Menteri pun telah mengatakan janji beliau (untuk melakukan pembaharuan sebelum pilihan raya),” katanya merujuk jaminan Datuk Seri Najib Razak baru-baru ini.

Dalam pada itu, Maria Chin turut menyeru pengundi agar keluar beramai- ramai pada pilihan raya akan datang bagi menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia.

“Sebab itu Bersih 2.0 juga laksanakan Kempen Jom 100, supaya semua pengundi perlu keluar dan memberikan perubahan kepada negara,” tegasnya.

Pada 9 Julai tahun lalu, Bersih 2.0 melancarkan perhimpunan di sekitar ibu negara, bagi mendesak kerajaan melaksanakan pilihan raya bebas dan adil.

Sehubungan itu, Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) bagi penambahbaikan proses pilihan raya ditubuhkan bagi mengkaji keperluan mengadakan pembaharuan dalam sistem pilihan raya.

Lapan tuntutan Bersih ialah penggunaan dakwat kekal, membersihkan daftar pemilih, mereformasikan undi pos, kempen minima 21 hari, akses media yang adil, mengukuhkan institusi awam serta menghentikan politik kotor dan rasuah.

Semalam, Bersih memberi amaran sekiranya kerajaan masih berdegil untuk melaksanakan tuntutan tersebut, himpunan Bersih kali ketiga akan diadakan untuk terus memberi desakan kepada kerajaan.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...