Lima puluh empat tahun UMNO memerintah negara ini tapi UMNO masih menyalahkan keadaan tidak sesuai untuk melaksanakan hukum hudud. Jadi jelaslah selama ini, merekalah penghalang sebenar daripada pelaksanaan hukum Allah
Susulan mesyuarat Pakatan Rakyat kelmarin, PAS menegaskan yang menghalang pelaksanaan hukum hudud adalah Umno bukannya DAP — rakan komponen dalam perikatan mereka berusia tiga tahun.
Ketua Penerangan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) berkata, PAS mengakui DAP mempunyai pandangan berbeza dalam soal pelaksanaan hudud dan pendirian mereka dalam tidak menyokong sistem perundangan syarak.“Akan tetapi, ini bukanlah perkara pelik kerana mereka bukan beragama Islam dan tiada tuntutan syarak ke atas mereka,” kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.
“DAP berpendapat ia bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, di mana kes-kes jenayah mesti berada di bawah bidang kuasa mahkamah sivil, bukan di mahkamah Syariah.
“Mereka juga berpendapat enakmen ini memerlukan pindaan Perlembagaan bagi menguatkuasakannya,” katanya.
Oleh itu kata Tuan Ibrahim, jelas yang menghalang ialah Perlembagaan Persekutuan yang dimomok Umno selama 54 tahun dan bukannya DAP.
“DAP tidak menyokong kerana ia melanggar Perlembagaan Persekutuan,” kata Tuan Ibrahim.
Tuan Ibrahim menambah, PAS memperakui perlunya bidang kuasa mahkamah syariah diangkat bagi menepati tuntutan syarak dalam pelaksanaan sistem perundangan ini.
“Namun, ruang dan bidang kuasa kerajaan negeri yang telah meluluskan enakmen ini juga perlu diperakui dan diiktiraf. Situasi ini amat berbeza dengan Umno yang beragama Islam dan mempunyai kewajipan syarak dalam melaksanakannya,” katanya lagi.
Pesuruhjaya PAS Pahang ini juga berkata, Umno yang mengaku dirinya Islam dan telah diberi kuasa pemerintahan selama lebih 54 tahun sepatutnya mesti bersedia memikul tanggungjawab ini untuk menyediakan negara ke arah kesediaan untuk melaksanakan hukum Allah.
“Ini bukan. Umno masih mengatakan negara masih belum mampu melaksanakannya. Ini jelas mencerminkan kegagalan Umno dalam memastikan pelaksanaan syariat Allah di negara ini,” tambah beliau.
Kelmarin, Pakatan Rakyat mengambil pendirian tegas hukum hudud yang muncul kembali sebagai isu ‘panas’ minggu lalu tidak akan menjadi sebahagian daripada dasar bersama perikatan itu sehingga kesemua parti komponen menzahirkan persetujuan dan konsensus.
Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu bahawa hukum hudud bukan sebahagian daripada dasar Pakatan Rakyat dan bantahan DAP perlu dihormati.
“Ya, ya. Sangat jelas ia perlu bersama,” kata Ketua Umum Pakatan Rakyat ini menjawab soalan sama ada pelaksanaan hukum hudud memerlukan persetujuan sebulat suara kesemua tiga parti dalam perikatan itu.
Dalam kenyataan bersama dikeluarkan, Anwar, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Penasihat DAP Lim Kit Siang berkata mesyuarat Pakatan Rakyat malam tadi memperakui dan mempertahankan dasar-dasar bersama yang telah dipersetujui sebelum ini sepertimana terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan, dasar bersama dan Buku Jingga.
Justeru kata Tuan Ibrahim, keputusan yang dibuat Pakatan Rakyat kelmarin ternyata jauh lebih baik daripada pendirian Umno yang terus menolak hukum hudud sebagaimana kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang juga Presiden Umno dan Pengerusi Barisan Nasional (BN).
Minggu lalu Najib menegaskan hudud tidak akan dilaksanakan di negara ini manakala timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Umno tidak menolak hudud tetapi kini bukan masanya untuk melaksanakan pendekatan itu.
“Sebagai ‘damage control’ ekoran kenyataan presiden mereka, ramai pemimpin Umno bergesa-gesa berkata mereka secara dasarnya menyokong hudud tapi menyalahkan keadaan tidak sesuai untuk melaksanakan hukum Allah ini.
“Lima puluh empat tahun memerintah tapi dalam keadaan kononnya menyokong hudud, Umno masih menyalahkan keadaan tidak sesuai untuk melaksanakan hukum hudud. Jadi jelaslah selama ini, merekalah penghalang sebenar daripada pelaksanaan hukum Allah,” kata beliau lagi.
Tuan Ibrahim juga memberitahu, pendirian orang bukan Islam “tidak menyokong” dan orang Islam yang “menghalang” amat beza darjatnya dalam isu pelaksanaan hukum hudud ini.
Beliau juga berkata, kini sikap menghalang Umno itu bertambah nyata apabila berhadapan tekanan MCA dan Gerakan yang terang terangan mengugut akan keluar dari gabungan BN seandainya Umno menerima hukum hudud.
MCA dan Gerakan hanya ugut nak keluar BN jika Umno nak laksana hudud kononnya ingin menjaga hak orang bukan Melayu, kata beliau sambil menambah, “tapi tidak pula kedengaran MCA dan Gerakan ugut nak keluar BN semasa Umno dan Perkasa sering menindas hak dan menggertak kaum bukan Melayu.”
“Bukankah itu menjadikan ugutan tersebut amat hiprokrit?” katanya lagi.
“Namun, hipokrit MCA dan Gerakan tidak setanding Umno. Apabila tercetus isu ini, Timbalan Presiden Umno terus menyatakan Umno turut menyokong hudud. Selepas ugutan MCA dan Gerakan, Najib terus mengisytiharkan tidak akan melaksanakan hukum Allah ini di Malaysia,” katanya lagi.
Oleh itu tambah Tuan Ibrahim, siap hipokrit Umno menyebabkan rakyat beragama Islam kini menuntut satu perisytiharan bila parti teras BN itu akan bersedia melaksanakan sistem perundangan syarak ini.
“Perisytiharan Umno ini juga sudah tentunya menyebabkan masyarakat Islam menuntut para ulamak dan ilmuan agama khususnya, untuk berfikir kewajaran mereka untuk terus berada dan menyokong Umno,” kata beliau.-TM.Insider
No comments:
Post a Comment