JPN seharusnya bertanggungjawab dimana kesemua 750 nama pemilik kad pengenalan klon itu ada dalam daftar pemilih. Di samping itu juga ianya turut mengesan kemunculan 10,000 kad pengenalan kembar yang dimiliki oleh mereka yang mempunyai identiti berbeza tetapi mempunyai kad pengenalan yang sama.
Dewan Pemuda PAS Malaysia akan mengadakan himpunan khas bagi membantah tindakan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) berhubung Maykad klon pada 25 Oktober ini di bangunan Parlimen, bermula jam 11.00 pagi.
Himpunan tersebut akan turut disertai Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, barisan kepimpinan tertinggi Dewan Pemuda PAS Malaysia, Keadilan dan DAP dari Pakatan Rakyat.Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Nasrudin Hassan menjelaskan, himpunan tersebut diadakan bagi membantah tindakan tidak bertanggungjawab dan penuh kekeliruan dari JPN berhubung kemunculan 170,000 Maykad klon yang dikesan oleh pihaknya.
Menurut beliau, sebelum ini, pihaknya telah menghantar memorandum kepada pihak kerajaan berhubung perkara itu, tetapi jawapan yang diterima tetap tidak menyelesaikan masalah yang berlaku.
Katanya, dengan itu, Dewan Pemuda PAS Malaysia terpaksa bertindak tegas untuk mengatasi masalah itu bagi ketelusan proses dan perjalanan pilihanraya di negara ini.
"Himpunan yang akan kami adakan itu adalah sebahagian dari tindakan tegas yang akan kami lakukan ekoran masalah itu yang perlu diberikan perhatian serius oleh JPN dan Kerajaan BN," katanya pada sidang media di Pejabat Agung PAS, di sini, hari ini.
Antara memorandum yang telah dihantar oleh pihaknya atau pihak PAS dan Pakatan Rakyat, menurut beliau, termasuklah berhubung Kg Baru yang turut didaftarkan sebagai pengundi oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan isu Mismah.
Katanya, selain itu pihaknya turut menghantar memorandum kepada pihak kerajaan berhubung masalah 750 kad pengenalan sama yang dimiliki oleh 2 individu baru-baru ini tetapi masih belum menerima jawapannya.
"Kesemua 750 nama pemilik kad pengenalan klon itu ada dalam daftar pemilih. Di samping itu, pihak kami juga turut mengesan kemunculan 10,000 kad pengenalan kembar yang dimiliki oleh mereka yang mempunyai identiti berbeza tetapi mempunyai kad pengenalan yang sama," jelasnya.
Kewujudan kad-kad pengenalan seperti itu dengan nama-nama pemiliknya turut terdapat dalam daftar pemilih yang dilakukan oleh SPR dengan kerjasama JPN, tegas beliau, merupakan sebahagian bukti betapa tidak bersihnya proses dan perjalanan pilihanraya di negara kita.
"Sehingga kini, pihak kerajaan masih lagi gagal melaksanakan 8 tuntutan Bersih, walaupun sebahagian daripadanya boleh dilaksanakan oleh pihak SPR sendiri kerana berada di bawah bidang kuasanya.
"Kesemua tuntutan itu adalah tuntutan rakyat yang tidak sepatutnya dipandang ringan oleh SPR atau kerajaan. Dengan itu, Dewan Pemuda PAS Malaysia mendesak SPR atau kerajaan BN agar melaksanakan segera kesemua 8 tuntutan itu," katanya.
Sekiranya tidak, tegas beliau, pihaknya akan mengambil tindakan lebih tegas dengan menggerakkan supaya diadakan pula himpunan Bersih 3.0 tidak lama lagi, dengan penyertaan yang jauh lebih besar daripada pelbagai pihak berbanding Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu.
"Nampaknya sudah tidak ada cara lain lagi untuk mengajar Kerajaan BN supaya melaksanakan pilihanraya dengan bersih, adil dan telus di negara kita melainkan dengan cara seperti itu sahaja," ujar beliau.-Hrkhdly
No comments:
Post a Comment