Thursday, October 20, 2011

Anwar sambut baik tawaran anjuran debat dengan Najib

Sebuah Akademi Penulisan yang dinamakan Akademi Pak Sako, bersedia menjadi penganjur debat antara kedua tokoh itu membincangkan soal ekonomi dan Belanjawan 2012.
          Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyambut baik tawaran mana-mana Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang ingin menganjurkan debat terbuka antara beliau dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
         Menurut Anwar, ia perlu disegerakan sebelum perbahasan Belanjawan 2012 di Dewan Rakyat, berakhir bagi penggal ini.

“Saya menyambut baik, mana-mana badan NGO yang ingin menganjurkan perdebatan tersebut. Saya harap disegerakan sebelum tamat perbahasan Belanjawan ini,” kata Anwar pada sidang media di Parlimen.

Hari ini, sebuah Akademi Penulisan yang dinamakan Akademi Pak Sako, bersedia menjadi penganjur debat antara kedua tokoh itu membincangkan soal ekonomi dan Belanjawan 2012.


Jurucakap Akademi Pak Sako, Hilman Idham berkata, debat itu juga membolehkan rakyat menilai belanjawan yang dibentangkan Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat.

Minggu lalu, Anwar mencabar Perdana Menteri yang juga menteri kewangan supaya berdebat secara terbuka berhubung kedudukan ekonomi dan Belanjawan 2012 yang dibentangkan, 7 Oktober lalu.

Belanjawan berjumlah RM232 bilion itu menerima kritikan hebat, berikutan pendapatan negara pada masa ini tidak dapat menampung hutang kerajaan yang mencecah RM437 bilion.

Pakatan Rakyat juga percaya berdasarkan realiti ekonomi, sasaran pertumbuhan 5 peratus hingga 6 peratus yang disasar Najib juga sukar untuk dicapai.

Pada masa yang sama, keupayaan kerajaan mengeluarkan terbitan bon dan instrumen hutang baru dalam tahun 2012 pula terbatas disebabkan had keberhutangan negara (debt ceiling) kepada 55 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar.

Enggan menerima hakikat itu, Najib sebaliknya menyelar Belanjawan Pakatan Rakyat dengan menyifatkannya gagal memahami kehendak rakyat keseluruhan, meskipun belanjawan sebanyak RM220 bilion yang ditawarkan berupaya mengekang defisit negara pada kadar 4.4 peratus daripada KDNK.

Belanjawan Pakatan mampu menjimatkan RM14 bilion berbanding perbelanjaan kerajaan Barisan Nasional iaitu pada kadar defisit 6 peratus daripada KDNK, dengan rakyat mendapat 20 peratus nilai tambah.

Sebelum ini, Najib enggan menerima pelawaan debat Anwar bagi menjawab kritikan beliau terhadap Buku Jingga, satu dokumen bersama Pakatan Rakyat yang menawarkan faedah ekonomi kepada rakyat terbanyak.-K/Daily

                                                                                                                                                      


Debat Anwar Najib- akademi penulisan tawar jadi penganjur
Sebuah Akademi Penulisan sedia menjadi penganjur bagi debat antara Ketua Pembangkang, dan Perdana Menteri berhubung soal ekonomi dan Belanjawan 2012.
Jurucakap Akademi Pak Sako, Hilman Idham berkata, debat itu merupakan perkembangan sihat bagi membolehkan rakyat menilai belanjawan yang dibentangkan Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat.
“Perdebatan seperti ini akan memberi ruang yang adil kepada rakyat untuk menilai secara rasional dasar-dasar yang digarap demi kepentingan mereka.
“Justeru Akademi Pak Sako bersedia untuk menjadi penganjur kepada Debat Belanjawan Negara 2012; di antara YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak dan YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim,” kata Hilman dalam satu kenyataan media.
Katanya, pihaknya akan menghantar undangan kepada perdana menteri dan ketua pembangkang itu, Jumaat ini.
Sekiranya kedua-dua tokoh itu bersetuju, debat berkenaan akan ditetapkan pada hari Khamis, 3 November pada jam 9 malam dan bertempat di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya.
Hilman Idham
“Kami berharap kedua-dua tokoh ini bersedia untuk menerima undangan debat daripada pihak kami. Semoga debat ini berlangsung dengan baik dan berhemah demi manfaat dan kesejahteraan rakyat,” ujar Hilman.
Isnin lalu, Anwar mencabar Najib berdebat secara terbuka berhubung soal ekonomi dan Belanjawan 2012 yang dibentang baru-baru ini.
Ia berikutan kenyataan Najib mengkritik belanjawan Pakatan Rakyat dengan menyifatkannya gagal memahami kehendak rakyat.
Menurut Ahli Parlimen Permatang Pauh itu, debat itu juga perlu disiarkan secara langsung melalui televisyen ke seluruh negara.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...