Sunday, October 2, 2011

PAS tak paksa bukan Islam terima hudud

Hudud bukan undang-undang baru yang dicipta PAS, tetapi undang-undang yang ditetapkan oleh Allah SWT.
Kewajipan perlaksanaan undang-undang Islam itu adalah bertujuan mendidik manusia menjadi baik dan bukan menzalimi mereka.

         Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menjelaskan, undang-undang Islam termasuk hudud hanya pilihan dan bukan paksaan untuk orang bukan Islam.
         Menurutnya, ianya sama seperti ajaran agama itu yang menegaskan bahawa tidak boleh memaksa bukan Islam memeluk Islam.

"PAS tak paksa orang bukan Islam terima hudud. Islam beri pilihan seperti tidak memaksa mereka memeluk Islam," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama di Kongres Sambutan 60 Tahun PAS di Dewan Millenium di sini.


Apa yang berlaku waktu ini tambahnya, undang-undang Islam itu telah dikelirukan oleh Umno sehingga bukan sahaja menakutkan orang bukan Islam malah menyesatkan orang Islam sendiri.

"Undang-undang jenayah syariah ini dimomokkan kepada rakyat melalui media yang diupah Umno.

“Kita cuba memperkenalkan undang-undang jenayah syariah terutamanya hudud dan takzir tapi mereka sengaja memetik hudud sahaja dengan tujuan menakutkan orang bukan Islam dan menyesatkan orang Islam," katanya.

Bukan ciptaan PAS

Mengulas lanjut isu yang sedang dipolemik itu, beliau berkata hudud bukan undang-undang baru yang dicipta PAS, tetapi undang-undang yang ditetapkan oleh Allah SWT.

Kewajipan melaksanakannya sama seperti kewajipan-kewajipan lain yang mesti dilaksanakan oleh orang Islam.

"Hudud bukan ditetapkan oleh PAS, bukan oleh Nabi, bukan oleh ulamak tetapi ia ditetapkan oleh Allah," tegasnya.

Kewajipan perlaksanaan undang-undang Islam itu katanya lagi adalah bertujuan mendidik manusia menjadi baik dan bukan menzalimi mereka.

Dalam pada itu, Tuan Guru Abdul Hadi turut sebak sewaktu mengulas perjuangan presiden-presiden PAS terdahulu yang lebih awal meninggalkan kita.

Dengan suara tersekat-sekat, beliau menyeru seluruh ahli PAS bersedia menyerahkan diri kepada perjuangan menegakkan agama Allah seperti yang ditunjukkan pemimpin terdahulu.

"Dalam sambutan 60 tahun, marilah kita mengenang pimpinan awal yang telah mendahului kita.

"Almarhum Ahmad Fuad, Dr Abbas Alias, Dr burhanuddin Helmi, Tuan Guru Yusof Rawa, Datuk Fadzil Noor dan lain-lain.

"Marilah kita menjadi mereka yang tetap jatidiri, tidak mengubah haluan, tidak menebuk bahtera, malah melajukan perjalanan bahtera mencapai keredhaan Allah untuk menang di dunia dan menang di akhirat," katanya disambut laungan takbir hadirin.-Hrkhdlynet

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...