Negara kita sekali lagi gagal dicerminkan sebagai membangun dan maju, sebaliknya kian mundur, kelam dan gelap, kata Ketua Pemuda PAS Malaysia, Nasrudin Hassan at-Tantawi.
Terbaru, katanya pelanggaran ‘demokrasi ilmu’ yang sungguh sadis, apabila Prof Dr Abdul Aziz Bari digantung tugas oleh Universiti Islam Antarabangsa (UIA) hanya kerana pengaruh kontroversi yang dicetus oleh media.Menurutnya, Dr Abdul Aziz bukanlah melakukan jenayah melainkan beliau hanya mengeluarkan pandangan dan kritikan berasaskan ilmu dan kepakaran beliau.
“Sungguhpun kenyataan beliau menyentuh pihak tertentu seperti sultan dan pihak pemerintah seperti kerajaan, ternyata kenyataan beliau masih dalam disiplin ilmu,” ujarnya kepada Harakahdaily.
Beliau berkata, disiplin ilmu sememangnya lurus berbanding ‘disiplin ampu’.
Katanya, ilmuan atau pakar yang melandaskan pandangan dan pendapat dalam bidangnya secara jujur dan amanah adalah satu langkah yang bijak dan menepati disiplin ilmu sekalipun pandangan dan pendapat tersebut masih terbuka kepada perbahasan cendikiawan.
“Kaedah umum ‘persilatan ilmu’ di mana-mana universiti dalam dunia ini ialah ‘hujah lawan hujah’ atau ‘fakta lawan fakta’ bukan ‘hujah lawan maki hamun’ dan ‘fakta lawan gantung tugas’.
Menurutnya, malang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, masih belum mampu menepati kualiti sebuah gedung ilmu apabila pantas mengambil tindakan menggantung tugas Prof Dr. Aziz Bari.
Katanya, patutlah universiti Malaysia belum ada yang tersenarai dalam kelompok 400 buah universiti terbaik dunia.
“Kami warga Dewan Pemuda PAS Malaysia cukup tersinggung dengan perkembangan ini. Sudahlah mahasiswa mereka belenggu dengan pelbagai peraturan seperti Auku, kini pensyarahnya pula berdepan dengan tindakan yang tidak bertamadun oleh sebuah pusat pengajian yang kononnya bertaraf antarabangsa,” ujarnya.
Sehubungan itu, tegasnya Pemuda PAS mendesak agar Prof. Dr. Abdul Aziz Bari segera dibebaskan dari pegantungan yang telah mencemar dunia ilmu dan merosakkan reputasi universiti sebagai menara ilmu dalam negara ini.
“Kalaupun gagal menaikkan prestasi universiti di peringkat antarabangsa maka janganlah pula dirosakkan lagi pencapaian sedia ada kerana ia sangat memalukan,” ujarnya.-Hrkhdly
No comments:
Post a Comment