Tuesday, August 16, 2011

Warga asing: Jual kerakyatan untuk kekal kuasa

                Teras Pengupayaan Melayu (Teras) menggesa pihak kerajaan meneliti semula prosedur mengeluarkan sijil kerakyatan kepada warga asing yang kini mereka berada di Malaysia sudah mencecah jutaan orang.
                Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, maklumat yang dikeluarkan amat mengejutkan iaitu seramai lebih 29,000 orang warga asing telah dilulus kerakyatan dalam tempoh 3 tahun yang lalu.

“Sementara bagi mereka yang telah didapati layak untuk mendapat kad warga negara di Malaysia, kami berpendapat sangat perlu proses melulus permohonan diteliti agar ia memberi manfaat kepada negara dari segi sosioekonomi dan pembangunan dalam jangka pendek mahupun jangka panjang,” ujarnya dalam satu kenyataan.


Tambahnya, adalah dikhuatiri jika sijil kerakyatan dikeluarkan dengan cara yang terlalu mudah, Malaysia mungkin bakal menjadi syurga pelbagai kelompok yang mungkin tidak memberi keuntungan kepada negara dan akhirnya membeban dan merugikan negara.

Justeru, ujarnya Teras memberi perhatian kepada sungutan wujudnya penganugerahan kerakyatan dikaitkan dengan politik.

Katanya, kelulusan kerakyatan akan pincang jika berlaku pertimbangan politik menjadi kriteria untuk pihak tertentu mahu memastikan pengundi memihak kepada mereka.

“Tindakan ini sama dengan kegiatan menjual kerakyatan hanya untuk mengekalkan kuasa. Teras percaya bahawa ujudnya kesangsian ramai pihak mengenai isu ini adalah berasas,” ujarnya.

Menurutnya, ada yang berpendapat bahawa suatu kecenderungan pihak tertentu pada masa ini mengeluarkan kad pengenalan adalah disyaki berkait dengan PRU 13.

Kesangsian ini, kata beliau akan bertambah meluas bila mana terdapat mereka yang memperolehi kad pengenalan dalam masa yang sangat singkat membolehkan mereka mendaftar sebagai pengundi.

Pihak Jabatan Pendaftaran Negara, ujarnya perlu menjelaskan apakah proses pengeluaran sijil kerakyatan dan pemberian kad pengenalan untuk warga asing benar-benar ditapis berdasarkan kelayakan dan syarat-syarat yang ketat.

Tambahnya, Teras turut mempersoalkan kualiti warga asing yang diambil sebagai warga negara Malaysia selain kerana faktor perkahwinan dan kelahiran.

“Kami berpendirian pihak kerajaan hendaklah meneliti dengan rapi proses pemberian kad pengenalan dan sijil kerakyatan kerana dalam jangka panjang Malaysia akan dibanjiri pelbagai warga asing yang tidak menentu akan membebankan negara,” katanya.-Hrkh

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...