Monday, August 22, 2011

Fitnah II: Najib, Rosmah akan disepina


                 Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor akan dikeluarkan sepina oleh pasukan pembela, supaya tampil sebagai saksi dalam kes fitnah II membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
                Turut akan disepina adalah bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan bekas Ketua Polis Melaka,  Datuk Mohd Rodhwan Mohd Yusof.
Kesemua mereka sebelum ini enggan ditemubual dan enggan menjadi saksi peguam bela.
Najib pernah bertemu Saiful dua hari sebelum insiden liwat didakwa berlaku iaitu pada 28 Jun 2008. Malah Saiful juga pernah bertemu Najib sebelum itu atas  alasan memohon biasiswa, meskipun beliau gagal menamatkan pengajian di kolej.

Sejak dari awal kes tersebut, Anwar menegaskan wujud konspirasi politik ekoran pertemuan Saiful dengan tokoh pimpinan Umno-BN, termasuk Najib Razak.
Selain itu Saiful turut bertemu dengan beberapa tokoh lain termasuk Datuk Mumtaz Jaafar, pembantu khas kepada Rosmah.
Pada perbicaraan Mac lalu, mahkamah diberitahu oleh pegawai penyiasat polis DSP Jude Pereira bahawa beliau telah mengambil keterangan Najib dan Rosmah berhubung kes itu.
Sepina juga akan dikeluarkan kepada doktor Hospital Pusrawi, Dr Mohamad Osman Abdul Hamid, Jururawat Yazihan Jusoh dan seorang pembantu rumah dikenali Suliati dari Indonesia.
Menurut peguam Karpal Singh, pihak pembelaan telah membuat permohonan dan menjangka saksi berkenaan akan tampil di mahkamah.
Ditanya sama ada, mereka boleh menolaknya, Karpal berkata tidak boleh dan sekiranya mereka berbuat demikian, waran tangkap boleh dikeluarkan ke atas mereka.
“Ia hanya boleh diketepikan. Setakat ini, belum ada permohonan untuk berbuat demikian,” katanya.
Pada 1998, Anwar cuba membawa perdana menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad ke mahkamah. Bagaimanapun peguam bekas perdana menteri itu berjaya mengetepikan permohonan tersebut.
Pada perbicaraan membela dirinya yang bermula hari ini, Anwar membacakan kenyataan Bahasa Inggeris sebanyak 32 muka surat dan menegaskan kembali bahawa tuduhan terhadapnya merupakan fitnah yang telah direka dan berniat jahat.
Beliau memilih untuk memberi kenyataan dari kandang tertuduh di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Dengan pilihannya itu, pihak pendakwaan tidak dibenarkan menyoal-balas beliau.
Anwar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen pada 7 Ogos 2008, terhadap pertuduhan melakukkan seks di luar tabii di Kondominium Desa Damansara di Bukit  Damansara, antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.
Jika disabitkan kesalahan, beliau boleh dikenakan hukumaan penjara sehingga 20 tahun dan disebat.-K/Daily


No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...