Saturday, August 6, 2011

Undi pos: Lebih ramai bekas tentera perlu tampil

"Saya bersama seorang kerani diarah buka karung undi... (kami) diarah pegawai atasan buka uncang undi dan diarahkan memangkah. Kertas undi itu lebih kurang 900 keping, termasuk tentera dan isteri mereka".

                 Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) menyanjung tinggi usaha yang telah dibuat oleh Nasir Mohamad, seorang bekas tentera yang berani tampil membuat pengakuan terhadap penyelewengan undi pos semasa berkhidmat sebagai tentera.
              Bagi DPPWP, usaha beliau perlu diberikan pujian bagi menegakkan kebenaran bahawa memang benar terdapat penyelewengan dalam sistem undi pos.

Dengan pendedahan beliau serta seorang lagi bekas tentera yang membuat pengakuan sama pada tahun 2009 iaitu Abu Kassim membenarkan telahan umum bahawa sememangnya undi pos adalah talian hayat buat Umno BN,” ujar timbalan ketuanya, Mohamad Suhaimi Abdul Aziz.

Semalam, Nasir mendakwa pernah terlibat menyalahguna undi pos semasa berkhidmat atas arahan pegawai atasannya.


Beliau yang hanya memperkenalkan dirinya sebagai bekas "kerani" di kem Sandakan, Sabah berkata, kejadian itu berlaku ketika pilihan raya umum ketujuh pada tahun 1986.

"Saya bersama seorang kerani diarah buka karung undi... (kami) diarah pegawai atasan buka uncang undi dan diarahkan memangkah. Kertas undi itu lebih kurang 900 keping, termasuk tentera dan isteri mereka.

"Saya diarah bahagi dua, kawan saya, namanya Ayub Mat ambil 400 lebih, saya ambil 400 lebih (kertas undi). Saya diminta undi ikut citarasa saya," katanya dalam majlis anjuran Pemuda PAS di sebuah hotel di Ampang pagi semalam sebagaimana laporan Malaysiakini.

Justeru, kata Suhaimi tidak hairanlah Umno BN memenangi banyak Parlimen di Malaysia yang mempunyai undi pos dengan majoriti besar setiap kali pilihanraya berlangsung.

Tambahnya, DPPWP membayangkan bagaimana nasib parti-parti selain Umno BN bertanding di kawasan-kawasan yang mempunyai beribu jumlah undi pos.

Menurutnya, ini sudah tentu Umno BN dengan mudah memenangi kerusi di kawasan terbabit tanpa usaha keras bertemu pengundi kerana mereka sudah ada simpanan tetap sedangkan parti lain yang bekerja keras hanya menggigit jari setiap kali pilihan raya.

Oleh itu, katanya DPPWP mengharapkan lebih ramai bekas tentera akan tampil mendedahkan pengalaman mereka sebagaimana yang dibuat oleh Nasir Mohamad.

“Ini kerana tindakan ini dianggap sebagai menipu dalam sistem pilihanraya dan sudah tentu ia berdosa kepada Allah SWT dan rakyat Malaysia umumnya meskipun mereka diarah berbuat demikian tanpa kerelaan hati mereka,” ujarnya lagi.

Selain itu, katanya ia menafikan hak rakyat khususnya pengundi pos lain dalam memilih parti yang mereka sukai.

Justeru itu, tambahnya bagi menghayati keberkatan bulan Ramadhan ini, DPPWP menyeru bekas-bekas anggota tentera yang pernah terlibat dalam penyelewengan undi pos untuk menginsafi dan menyesali tindakan mereka terdahulu.

Beliau berkata, salah satu caranya adalah memohon keampunan kepada Allah SWT serta memohon maaf kepada rakyat Malaysia dan tampil mendedahkan kebenaran.

Menurutnya lagi, DPPWP sanggup menyediakan platform serta ruang buat bekas anggota tentera mendedahkan pengalaman mereka dalam penyelewengan undi pos ini bila-bila masa diperlukan.

“Ingatlah, kebatilan dan kezaliman pasti akan lenyap dan kebenaran jualah yang akan menang,” katanya.-Hrkh

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...