Tuesday, October 12, 2010

Takut Umno Kalah, Guna Jenama Ku Li Di PRK Galas

Setelah Jenama Umno Merudum. Jenama Ku Li Dipilih
Pecah cawan, pecah gelas. Siapakah yang akan menang kerusi di Galas?

Jawapannya akan diketahui pada malam 4 November nanti, tetapi buat masa ini
percaturan politik di Galas, Kelantan telah bermula. Bagi pihak Umno, Tengku Razaleigh Hamzah atau lebih dikenali sebagai Ku Li telah diberi tugas sebagai pengarah kempen dan ramai pula yang mencadangkan nama beliau sebagai calon. Ku Li telah diberi peranan yang amat besar dalam pilihanraya kecil ini walaupun sebelum ini ramai dalam parti Umno yang tidak suka kepadanya sebab beliau memihak kepada Kerajaan PAS Kelantan dalam tuntutan royalti minyak.

Tetapi sekarang ramai dalam Umno yang berpusu-pusu memujinya sebagai seorang tokoh Umno yang berwibawa yang telah memberi sumbangan jasa yang besar kepada Umno. Dapat dilihat di sini bahawa dalam dunia politik, dalam masa sekelip mata sahaja keji boleh berubah menjadi puji dan sebaliknya.

Dalam cerita Galas ini, saya berpendapat bahawa Ku Li mungkin akan 'dijerat' oleh Umno yang sangat licik dalam percaturan menjerat musang. Di sini saya merujuk kepada musang yang sebenar dan bukan Ku Li.

Untuk pertandingan di Galas, apa yang sebenarnya akan berlaku ialah PAS lawan Umno dan bukan PAS lawan Ku Li. Cuma kerusi Galas terletak di kawasan Parlimen Gua Musang sahaja. Tidak kurang dan tidak lebih dari itu.

Umno pula akan meletakkan Ku Li di pentas depan untuk memberi gambaran bahawa ini adalah pertandingan di antara PAS dengan Ku Li supaya dapat meraih sokongan dan undi kaum Melayu dengan mudah. PAS perlu berdepan dengan ilusi yang ditonjolkan oleh Umno.

Apa yang PAS perlu lakukan di sini ialah untuk memberi penerangan yang terperinci kepada para pengundi bahawa ini adalah pertandingan di mana PAS akan bertentangan dengan Umno dan bukan Ku Li.



Nama Umno sudah tiada kekuatan lagi, jenama Umno sudah lemah. Oleh itu Umno terpaksa menggunakan jenama Tengku Razaleigh Hamzah-nama itulah yang mempunyai kuasa. Selain dari itu, politik perkauman Umno telah ditolak bulat-bulat oleh bangsa bukan-Melayu. Nasib baik untuk Umno tidak terdapat ramai orang Cina dan orang India di Galas. Jika ramai, Umno perlu berhempas-pulas untuk menggalaskan ceramah mereka dengan lebih banyak lagi ungkapan yang manis untuk meminang hati pengundi Cina dan India.

Jika calon Galas bukan Ku Li, Umno menghadapi peluang yang cerah untuk mengalami kekalahan. Walaupun begitu, Umno yang sangat licik itu juga mempunyai banyak taktik yang 'canggih' dan 'menakjubkan' untuk mendapat sokongan para pengundi. Satu daripada taktik yang telah dibuktikan amat berkesan ialah memberi gula-gula dan nasib mereka juga baik dalam hal ini kerana pengundi Melayu akan lupa bahawa janji-janji yang lama di Manek Urai tidak ditunaikan.

Perlu diungkitkan hal jambatan yang telah dijanjikan oleh Umno kepada para pengundi di Manek Urai. Satu keping papan pun tiada, apa hendak dikatakan lagi?

Secara terus-terang saya ingin mengatakan bahawa pengundi Melayu mudah terpedaya oleh Umno, contohnya wang ehsan dari Kerajaan Pulau Pinang itu. Telah dikatakan seribu satu kali oleh Dr. Mansor Othman, Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang bahawa wang ehsan untuk orang Melayu ialah hasil dari penjimatan wang dari langkah-langkah jimat-cermat yang diamalkan oleh Kerajaan Pulau Pinang dan bukan dari Kelab Lumba Kuda tetapi orang Melayu percaya pula cakap orang Umno. Akan sampai bila orang Melayu akan diperdayakan lagi? Dari dulu hingga kini dan buat selama-lamanya?

Perlu ditekankan di sini bahawa Umno ialah parti berteraskan bangsa Melayu, oleh itu orang Melayu yang pentingkan keMelayuannya akan mengundi Umno. Orang Melayu yang pentingkan ugamanya akan mengundi PAS sebab PAS ialah parti yang berteraskan Islam. Itu logik, dalam bahasa Inggeris kita kata 'simple and straightforward' dalam bahasa Melayu kita kata 'mudah dan terang'. Oleh itu, di Galas PAS dan Umno akan cuba baca 'iklim' pengundi, sama ada mereka lebih memberi tumpuan kepada bangsa atau ugama.

Saya ingin berganjak topik sedikit dan memberitahu pembaca bahawa sekarang ada ramai orang Cina dan orang India menyokong PAS. Ia adalah kerana PAS adalah adil kepada semua dan tiada satu pun orang PAS yang rasis. Keadilan Islam merangkumi semua, oleh itu PAS adalah parti untuk semua orang, tidak kira bangsa atau ugama manakala Umno ialah parti untuk orang Melayu sahaja.

Ramai orang Melayu yang berpendapat PAS telah tunduk kepada DAP dan ini tentu akan menjadi topik hangat di Galas. Saya ingin menyangkal pendapat itu dengan sekeras-kerasnya sebab dalam Pakatan Rakyat semua adalah selaras kuasanya iaitu 1/3 kuasa kepada PAS, 1/3 kuasa kepada DAP dan 1/3 kuasa kepada PKR. Tidak seperti di Umno yang telah menjadi 'big brother' dalam Barisan Nasional sehingga MCA dan MIC yang menjadi komponennya adalah untuk memberi satu ilusi keharmonian dan semangat muhibah sahaja. Semuanya adalah ilusi. Semua pengundi mesti jangan terpedaya dengan ilusi ciptaan Umno. Umno ialah BN dan BN ialah Umno. Noktah.

Saya tahu pertempuran akan sengit di Galas. Hanya saya berharap semoga Tuhan akan memberi ilham kepada para pengundi dan membuka mata mereka supaya mereka dapat memahami dengan lebih mendalam lagi nilai-nilai murni Islam yang sebenarnya dan membuat pilihan yang cerdik dan berwawasan masa depan supaya kemakmuran negara dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa dan ugama.- SalenaTay -Harakahdaily

Selena Tay adalah ahli Dewan Himpunan Penyokong PAS, Titiwangsa.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...