Ahli Parlimen Machang Saifuddin Nasution Ismail(gambar) berkata kepincangan yang ditanggung oleh bangsa Melayu kini adalah akibat kesan daripada dasar pentadbiran mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad selama 22 tahun yang mengangkat budaya kronisme dan nepotisme.
Akhirnya kata Saifuddin, Dr Mahathir dan Umno telah menjahanamkan nasib dan masa depan orang Melayu serta kesucian agama Islam.
"Yang jahanamkan orang Melayu bukannya orang Cina yang namanya Kit Siang, yang menjahanamkan agama kita bukannya Melayu, bukan Cina yang namanya Guan Eng, Karpal Singh, Sivarasa atau pun Tian Chua.
"Dalil yang pertama, apakah betul Umno jaga agama? Orang Melayu di negara kita ini agamanya Islam. Berita yang terbaru tetapi dilaporkan akhbar antarabangsa, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mahu meluluskan lesen judi kasino di Sabah.
"Baru-baru ini kita lawan dia nak bagi lesen bola sepak kepada Tan Sri Vincent Tan. Bukan Najib bagi tapi Mahathir bagi. Dua tiga minggu sebelum Mahathir berhenti dia bagi lesen judi tersebut," jelas beliau.
Beliau berucap pada ceramah umum di Kedai Buluh, Marang, Jumaat lalu ketika mengulas kenyataan Dr Mahathir yang mengugut kononnya Melayu akan hilang kuasa jika Pakatan Rakyat berjaya menubuhkan kerajaan pusat pada Pilihan Raya Umum akan datang
Menurut Saifuddin, selepas Tun Abdullah Ahmad Badawi dilantik sebagai Perdana Menteri, Vincent Tan telah datang berjumpa dengan beliau meminta lesen judi kerana Dr Mahathir telah memberikan kelulusan untuk lesen judi bola sepak tetapi ditolak kerana takut akan dipersoalkan oleh PAS.
Katanya lagi, perkara itu didedahkan dalam sebuah buku oleh seorang penulis dari Singapura yang mempunyai pengalaman 25 tahun mengikuti perkembangan politik di Malaysia khususnya Umno.
"Ketika buku itu pada mula diterbitkan, Umno tidak benarkan buku itu dijual di Malaysia. Hari ini pula, seorang pelukis kartun, Zunar pula ditangkap kerana ingin melancarkan buku kartunnya. Dia kena tangkap, bukunya kena rampas. Kartun pun Umno takut sekarang ini," ujar beliau.
Beliau menegaskan Umno yang beria-ia ingin meluluskan lesen judi bermula zaman Dr Mahathir, kini diteruskan pula di zaman Datuk Seri Najib Razak.
Justeru itu katanya, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mencabar Najib supaya berterus terang menyatakan pendiriannya berhubung isu lesen judi yang mahu diluluskan sedangkan dalam Islam hukumnya jelas haram.-SK
No comments:
Post a Comment