Sunday, April 25, 2010

Zaid Untuk Rakyat Hulu Selangor


M Faqih
“SAYA mungkin memilih untuk bertanding di Selangor dan tidak lagi di Kelantan. Rumah tangga saya di sana.

“Saya pun sudah lama mencari rezeki di Selangor dan Kuala Lumpur,” ujar ringkas Datuk Zaid Ibrahim ketika ditanya kerjaya politiknya selepas meninggalkan Umno.

Beliau ditemui pada hari penamaan calon pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Manek Urai pada Julai 2009.

Zaid hadir sama pada penamaan calon tersebut bagi memberi sokongan kepada Mohd Fauzi Abdullah.

Dengan rambut yang sudah banyak berubah menjadi putih di kepala, kelibatnya mudah dikenali. Memek wajahnya mudah tersenyum, biar pun ada orang kata nampak macam masam.

Sepanjang kempen pilihan raya itu, Zaid memerah tenaga berkempen membantu calon PAS. Banyak kampung beliau jelajahi siang dan malam.

Begitu juga ketika pilihan raya kecil parlimen Kuala Terengganu pada Januari 2009. Kehadiran Zaid ketika itu mengejutkan banyak pihak.

Dua pilihan raya tersebut Zaid tampil membantu PAS. Pengalaman bersama Umno dicurah kembali untuk dinilai pengundi. Akhirnya rakyat membuat keputusan menolak BN pada kedua-dua pilihan raya tersebut.

Itulah jasa awal Zaid kepada PAS, biar pun pernah mimpi berlainan sebelum ini. Biar pun ketika masih berstatus menteri semasa kabinet Tun Abdullah Ahmad Badawi, ramai pemimpin PAS dijemput ke rumahnya.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bukan sekali bertandang ke rumahnya. Begitu juga pemimpin PAS yang lain.

Inilah uniknya Zaid, biar pun masih kuat mendokong Umno namun pada dirinya mungkin tiada istilah lawan. Setiap kali kenduri kendara di rumahnya di Pasir Hor dekat Kota Bharu, pemimpin PAS tidak pernah dilupakan.

Sedangkan situasi itu kelihatan sukar dipratik pemimpin Umno lain di Kelantan. Tuan Guru Nik Abdul Aziz pernah hadir ke rumah Tan Sri Annuar Musa di Bukit Marak, itu pun ketika menziarahi ibunya yang meninggal dunia.

Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Datuk Dr Awang Adek Husin jauh sekali untuk melakukan adegan seperti Zaid. Inilah kelebihan Zaid yang tidak ada pada pemimpin Umno lain.

Ketika berjuang di atas platform Umno sekalipun, jiwanya tidak diserah sepenuh raga. Masih ada ruang di sudut hatinya untuk mencari keadilan sebenar.

Maka amat rugilah bagi penduduk di Hulu Selangor sekiranya terpengaruh dengan segala tohmahan murahan pihak Barisan Nasional (BN). Isu kaki botol, ada kuda lumba, kaki judi dan saman hudud semuanya perkara usang yang dibangkit semula.

Seperti kata Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustapa Ali boleh dikatakan semua Perdana Menteri meneguk arak kecuali Abdullah.

Kisah pemimpin Umno minum arak, kaki perempuan dan mengunjungi dangdut usah cerita lagi. Maka tidak hairanlah ramai pemimpin Umno yang berebut artis.

Terbaru anggota parlimen BN di Kinabatangan, Datuk Bung Mokhtar Radin mempamerkan isterinya seorang artis, Zizie Ezzete. Kalau di Sarawak Datuk Affendi Norwawi juga berkahwin dengan artis dan ramai lagi. Kalau dibanding dengan Zaid, jauhlah Zaid ada integriti moral.

Isteri Zaid, Datin Suliana Shamsuddin Alias juga sekarang sudah jauh berubah. Sedangkan isteri Datuk Seri Dr Rais Yatim, Datin Maznah Rais ketika bersama Semangat 46 bertudung litup, sekarang kepala bergerbang.

Lagak isteri Rais tidak jauh beza dengan Datin Rosmah Mansor, isteri perdana menteri.

Maka ketika Zaid dan keluarga berhijrah ke arah kebaikan, mengapa perlu diungkit kisah lama.

Ketika zaman kebangkitan Islam, Rasulullah s.a.w. menyebut "siapa berlindung di rumah Abu Sufian dia dijamin selamat." Sedangkan Abu Sufian telah lama memusuhi Nabi s.a.w.

Begitu juga Saiyidina Omar al Khattab dan Khalid Al Walid ketika belum Islam, Nabi Muhammad s.a.w. menjadi musuh mereka. Namun selepas memeluk Islam mereka pula berada di barisan depan memperjuangkan Islam.

Penduduk Hulu Selangor tidak perlu keliru, kerana mereka bukan tinggal di Nenggiri, Gua Musang atau Kuala Balah, Jeli sehingga gagal membezakan kisah lama dan cerita baru.

Banyak kawasan di Hulu Selangor boleh diakses internet. Penduduk juga boleh melihat ada gambar pemimpin Umno yang teguk arak dan berkepit perempuan di kelab dangdut.

Kalau sekadar body yang menjadi ukuran, Zaid sudah jauh berubah.

Di Kota Bharu kalau disebut nama Zaid, penarik beca dan orang kurang upaya (OKU) kenal sangat dia.

Popularnya Zaid kerana beliau memperjuangkan rakyat marhaen. Yayasan Orang Kurang Upaya Kelantan (Yokuk) yang terletak di Padang Tembak, Pengkalan Chepa diasas Zaid.

Biar pun lebih 30 tahun tinggal di bandar raya metropolitan jiwa kampung masih membaluti dirinya. Zaid dilahirkan di Kampung Chap, Bachok enam tahun sebelum negara mencapai kemerdekaan.

Kehidupannya susah kerana kedua ibu bapa bercerai. Beliau tinggal dengan neneknya yang dikenali sebagai Sepiah.

Sepiah yang dipanggil Tok Wa menanam padi untuk menyara kehidupan keluarga. Beliau belajar di Sekolah Kebangsaan Bukit Marak yang terletak kira-kira enam kilometer dari rumah Tok Wa.

Ayahnya, Ibrahim Awang hanya kerja kampung, kemudian berhijrah ke Hulu Kelantan membuka tanah hutan. Ayah dan emaknya selepas berpisah berkahwin lain.

Hasil perkahwinan itu, Zaid mempunyai 11 adik beradik. Inilah selengkar kehidupan Zaid yang kini sedang berjuang bersama penduduk Hulu Selangor.

Zaid berlainan jauh berbanding Datuk Seri Najib Razak, Tan Sri Muhyiddin Yassin atau Datuk Seri Hishammuddin Hussein kerana mereka golongan bangsawan.

Maka perjuangan di Hulu Selangor lebih serasi dengan Zaid dan bukan Najib, Muhyiddin atau Hishammuddin.

Hanya orang pernah merasai erti derita dan susah dapat menyelami denyut nadi penduduk Hulu Selangor. Zaidlah hero baru yang akan jatuh bangun bersama mereka. -Harakahdaily

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...