Wednesday, April 21, 2010

Zaid Berjanji Akan Bela Nasib Rakyat Hulu Selangor


Calon Parti KEADILAN, Datuk Zaid Ibrahim berkata beliau akan terus memperjuangkan hak rakyat Hulu Selangor dalam memastikan segala masalah dapat ditunaikan selain menjadikan Hulu Selangor sebagai daerah contoh yang dikagumi seluruh rakyat Malaysia.

"Pada hari penamaan calon saya sudah katakan bahawa saya jatuh cinta pada Hulu Selangor, saya telah bertemu mendengar dan belajar dari ramai orang, apa yang saya alami ini banyak menyentuh hati saya.

"Saya bertemu dengan Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim dan saya beriltizam untuk bersama-sama mengangkat gagasan Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor bagi mengubah Hulu Selangor menjadi contoh tauladan yang dikagumi seluruh rakyat Malaysia. Selangor yang dianggap sebagai negeri maju dan taraf hidup masyarakatnya hampir menyamai Eropah Barat.

"Namun kenapa sejak 50 tahun yang lalu ribuan orang masih hidup tanpa bekalan paip air, tanpa tanah dan tanpa harapan masa hadapan buat anak-anak mereka. Bagi saya masa untuk kecewa telah tamat, kini waktunya hak yang dirampas dipulangkan kepada rakyat Hulu Selangor," jelas Zaid pada sidang media harian di Pusat Media Pakatan Rakyat tengahari tadi.

Beliau juga berazam akan mengubah wajah Hulu Selangor yang telah menjadi mangsa kepada pengabaian Umno-Barisan Nasional sejak sekian lama.

"Anak muda adalah masa depan Hulu Selangor dan negara, tetapi mereka meninggalkan Hulu Selangor kerana kekurangan pekerjaan, kekurangan kegiatan serta kekurangan peluang untuk mereka melakukan perubahan.

"Kita memerlukan orang-orang muda untuk menetap di sini, kita mesti menukar Bukit Beruntung dan Lembah Beringin yang sekarang ini terbiar disebabkan sikap sombong Umno agar menjadi pusat pendidikan, perniagaan dan pembudayaan di Selangor.

"Berkenaan dengan masalah tanah menyebabkan ribuan penduduk yang tinggal di sini sejak lima puluh tahun tanpa mendapat geran ke atas tanah yang mereka usahakan tetapi pemerintahan di bawah Tan Sri Khalid Ibrahim telah menyelesaikannya dengan memberikan geran-geran tersebut," sambungnya lagi.

Zaid menjelaskan masalah rakyat di sini menjadi tanggungjawab beliau untuk merubahnya dan berharap penduduk di sini dapat membantunya.

"Saya juga berasal dari keluarga miskin, saya faham kehendak, maruah dan impian rakyat Hulu Selangor umpama ianya hasrat dari saya sendiri. Kepada rakyat Hulu Selangor, percayalah pada saya dan berikan saya peluang untuk sama-sama bekerja menjadikan impian ini suatu kenyataan," kata Zaid lagi. -SK

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...