Sunday, April 18, 2010

Memahami rakyat lebih penting dari isu tempat lahir – Zaid


Datuk Zaid Ibrahim, calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi pilihan raya kecil parlimen Hulu Selangor mahu menumpukan masalah pembangunan dan keselesaan yang masih membelenggu penduduk kawasan itu yang diabaikan oleh Barisan Nasional (BN) selama ini.

Melalui pengalaman beliau sebagai menteri sebelum ini, beliau yakin dapat menyelesaikan banyak masalah yang dihadapi penduduk Hulu Selangor.


"Saya rasa dengan pengalaman menjadi menteri, melalui pengalaman yang saya ada, saya rasa boleh selesaikan lebih banyak masalah seperti masalah perbandaran, longkang, perumahan," kata beliau dalam sidang akhbar selepas penamaan calon pilihan raya kecil parlimen itu di sini hari ini.

Beliau yang pernah memegang portfolio Menteri Undang-undang berkata hubungan rapat dengan (Menteri Besar Selangor) Tan Sri Khalid Ibrahim dan pemimpin Pakatan Rakyat yang lain memudahkan beliau menyelesaikan masalah yang dihadapi penduduk setempat.

Malah beliau berkata beliau akan membawa pelbagai perubahan bagi merancakkan ekonomi dengan membawa masuk pelaburan di kawasan terbabit.

Maka menurutnya lagi, isu bahawa beliau bukan anak tempatan bukan isu utama seperti dimainkan pihak Barisan Nasional.

"Mereka kata saya orang luar, tetapi saya sudah menetap di Petaling Jaya selama 30 tahun dan calon P Kamalanathan juga bukan anak tempatan, sama sahajalah. Isu tempat lahir bukan menjadi isu penting" kata beliau.


Katanya lagi apa yang penting adalah beliau perlu memahami para pengundi dan mampu menyelesaikan masalah mereka.

Sementara itu, Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim pula berkata Pakatan Rakyat merasa bangga kerana dapat meletakkan Zaid yang disifatkan sebagai calon terbaik dalam pilihan raya kecil kali ini.

Khalid pula berkata Zaid menjadi calon sesuai untuk menterjemahkan segala usaha kerajaan selangor yang membawa program merakyat ekonomi selama ini.

Malah negeri Selangor kata Menteri Besar itu, cukup bertuah memiliki Zaid yang dilihat dapat membawa masalah rakyat Selangor di parlimen.

"Kita sudah melaksanakan agenda merakyatkan ekonomi dan orang yang akan meneruskan usaha kita di parlimen dan untuk diterjemahkan adalah Datuk Zaid.

Khalid berkata, "Kami bertuah jika beliau dipilih kerana beliau akan mewakili kami di parlimen dan akan membawa suara rakyat"

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang pula berkata seluruh jentera parti itu dari seluruh negara akan dikerah terutama 40 cawangan PAS di sini untuk berkempen bagi membantu kemenangan Zaid.

"(Dakwaan) PAS tak sokong Zaid tak betul. Seluruh pimpinan PAS kukuh di belakang Zaid," katanya ringkas. -FMT

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...