Tuesday, April 20, 2010

"Selongor Kita", Akhbar Palsu Milik Umno



Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad membidas tindakan terdesak Umno-Barisan Nasional sehingga terpaksa menggunakan kaedah serangan peribadi mengutuk sejarah lampau Datuk Zaid Ibrahim, calon Pakatan Rakyat Parlimen Hulu Selangor ketika bersama Umno-BN satu ketika dulu.

Beliau mengulas berhubung beberapa isu yang dimainkan Umno-BN dalam kempen pilihan raya Hulu Selangor yang sedang berlangsung termasuk pengedaran akhbar, 'Selangor Kita' yang dipercayai milik parti itu.

Khalid menganggap laporan Selangor Kita sebagai tidak berwibawa dan hanya melaporkan berita palsu semata-mata untuk menarik perhatian sekaligus meraih sokongan pengundi semasa kempen PRK Hulu Selangor.

"Isu-isu yang ditimbulkan dalam Selangor Kita adalah cara terdesak mereka sebab mereka tidak ada poin dan tidak apa-apa isu lagi yang hendak disampaikan sehinggakan penonjolan isu peribadi membabitkan Zaid Ibrahim masa beliau dalam Barisan Nasional dahulu juga dibangkitkan," katanya pada sidang media di lobi Parlimen di sini hari ini.

Sehubungan itu beliau menyeru supaya pengundi Hulu Selangor tidak termakan dakyah yang disebar jentera BN bagi menjatuhkan Pakatan Rakyat.

"Saya menyeru pengundi Hulu Selangor ambil dan campakkan akhbar Selangor Kita ke dalam tong sampah kerana ia merupakan akhbar yang tidak berwibawa dan terbukti bahawa kandungan beritanya adalah bohong begitu juga berita pasir di Selangor yang kena kebas seperti mana yang disiarkan, sedangkan kerajaan negeri Selangor bertungkus lumus memulangkan semula hasil tersebut kepada rakyat. Ini semua satu pembohongan rekaan mereka," tegas beliau lagi.

Dalam pada itu beliau turut mengkritik Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria kerana menafikan kenyataan beliau yang disiarkan dalam akhbar Selangor Kita di bawah tajuk ‘Khalid Samad tidak beriman - Mufti’.

Sebelum ini, Khalid memberikan tempoh selama tujuh hari kepada Harussani untuk membuat penjelasan berhubung kenyataan itu sebelum tindakan undang-undang diambil terhadapnya. Namun Mufti Perak itu menafikan kenyataan tersebut.

"Tan Sri telahpun menjawab bahawa dia tidak pernah pun menyebut dan mengeluarkan kenyataan itu dan kalau tak silap saya seperti laporan Malaysiakini yang menyatakan beliau tak pernah sebut nama saya apatah lagi tidak mengenali akhbar Selangor Kita.

"Dan dalam soal isu kalimah Allah, semua komen-komennya bersifat umum. Jadi berdasarkan jawapan yang diberikan saya tafsirkan ia sebagai penafian dan saya anggap isu ini telahpun selesai. Namun yang penting surat khabar ini tidak boleh digunapakai.

"Dengan jawapan ini juga ia membuktikan surat khabar ini tidak boleh digunapakai kerana tidak bertanggungjawab dengan menyebarkan laporan fitnah dan berniat jahat khususnya ia dijadikan bahan kempen di Hulu Selangor," kata beliau lagi.

Menurut Khalid, Harussani membuat kenyataan itu berdasarkan pandangan beliau mengenai Enakmen Undang-Undang Islam Negeri Selangor.

Beliau menyatakan pandangan bahawa undang-undang itu boleh dipinda kerana ia satu pentadbiran dan peraturan berhubung matlamat-matlamat tertentu dan cara mencapainya menurut Islam.

"Isu yang ditimbulkan ialah berhubung dengan isu enakmen undang-undang Islam Negeri Selangor. Undang-undang Islam Negeri Selangor ini ialah undang-undang pentadbiran. Ianya bukan hukum qat'ie. Ianya merupakan pentadbiran, peraturan yang berhubung matlamat-matlamat tertentu, cara nak capai matlamat itu seperti mana yang ditentukan oleh Islam. Caranya itu ada kaedah yang ditetapkan oleh Majlis Agama Islam Negeri Selangor. Ia bukan satu peraturan yang ditetapkan oleh Al-Quran. Sebab itu saya cakap ia boleh ditegur dan dipinda," jelasnya.

Khalid turut memaklumkan akan mencari jalan mengambil tindakan undang-undang ke atas pihak yang bertanggungjawab berhubung laporan pembohongan yang disiarkan di dalam akhbar tersebut yang membabitkan Pakatan Rakyat. -SK

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...