Sunday, April 18, 2010

Pertarungan di Hulu Selangor bermula


HULU SELANGOR – Pilihan raya kecil Parlimen (P94) Hulu Selangor yang bermula hari ini akan menyaksikan pertarungan sengit antara calon Barisan Nasional (BN), P Kamalanathan dan lawannya dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Zaid Ibrahim.

Calon bebas yang dijangka turut serta, Johan Md Diah dan VS Chandran pula masing-masing dari UMNO dan MIC memberikan alasan mahu menyertai pilihan raya kecil ini kerana mahu berkhidmat kepada penduduk Hulu Selangor.

Pertandingan kali ini juga dilihat amat menarik sekali kerana Pakatan Rakyat (PR) mahu mengekalkan kerusi ini dan meneruskan rentak ‘tsunami politik’ manakala BN pula kelihatan amat yakin mampu merampas Hulu Selangor.

Sekiranya BN mampu merampas Hulu Selangor, ia akan menjadi penambah moral kepada kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum pilihan raya umum akan datang dan membuktikan bahawa konsep 1Malaysia mampu diterima rakyat.

Menurut Pensyarah Sains Politik UKM, Prof Madya Mohammad Agus Yussof, kedudukan BN dan PR sekarang benar-benar seimbang di Hulu Selangor dan masih terlalu awal untuk membuat andaian siapa yang akan memenangi pilihan raya kecil ini.

Katanya Zaid dan Kamalanathan masing-masing mempunyai kelebihan dan mampu membuat kejutan tetapi ia ditentukan dengan sentimen yang dimainkan oleh pihak bertanding dan jumlah peratusan yang keluar mengundi.

“Pada pilihan raya umum 2008 lalu, kira-kira 15,000 pengundi tidak keluar di Hulu Selangor, jika mereka keluar siapa yang akan menang? Inilah persoalannya,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Isu yang dijangka panas dimainkan oleh PR pada permulaan kempen seperti isu Apco, Dasar Ekonomi Baru, fungsi perjumpaan Najib dengan Presiden Amerika Syarikat, Barrack Obama baru-baru ini serta isu pembangunan setempat.

BN pula dijangka membawa isu kegagalan kerajaan PR negeri dan menyerang peribadi Zaid serta kes liwat melibatkan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beberapa hari lalu, BN melalui krisis untuk memilih calon yang paling sesuai kerana calon yang dikemukakan MIC, Timbalan Presidennya, Datuk G Palanivel ditolak oleh pucuk kepimpinan BN dan Kamalanathan merupakan calon saat akhir yang diterima.

Pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya, Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad dari PKR akibat barah otak pada 25 Mac lalu. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari ini sebagai hari penamaan calon dan hari pengundian pada 25 April. -SH

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...