Sunday, May 2, 2010

Umno Hanya Pungut Pemimpin bermasalah



Tindakan Umno menerima Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pelabuhan Klang Badrul Hisham Abdullah tidak meninggalkan sebarang kesan kepada Parti KEADILAN Rakyat malah menyifatkan Umno terdesak sehingga sanggup mengutip pemimpin bermasalah yang tidak diterima pakai dalam KEADILAN.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat Parti KEADILAN Rakyat, Syed Shahir Syed Mohamed yang dihubungi menjelaskan Umno akan terus mengutip siapa sahaja yang keluar dari KEADILAN tanpa mengira latar belakang mereka yang keluar.

"Memang itu sudah menjadi kerja Umno, mereka akan mengutip siapa sahaja yang keluar lebih-lebih lagi dari Parti KEADILAN Rakyat. Bagi mereka bila ada pemimpin yang keluar dan menyertai mereka itu satu kejayaan besar.

"Bagi saya apa yang mereka buat adalah umpama mengutip sampah yang tidak diperlukan di dalam KEADILAN. Badrul adalah seorang wakil rakyat yang tidak mempunyai fungsi apa-apa pun kepada parti malah sudah banyak kali nasihat kita berikan tetapi beliau tidak pernah ambik peduli dengan apa yang kita beritahu.

"Bila tak dengar segala nasihat yang kita berikan jelas beliau seorang yang mempunyai masalah dan tidak ada tokoh kepimpinan dalam parti," jelasnya.

Syed Shahir juga memberitahu sampai bila Umno akan bersama dengan Badrul dan belum tentu kerusi bagi Pelabuhan Klang itu diberikan kepadanya lagi.

"Sekarang ini apa yang berlaku Umno tidak akan terus memberi kerusi Pelabuhan Klang itu kepada Badrul pada pilihan raya yang akan datang. Bagi mereka Badrul hanyalah boneka kepada Umno sahaja.

"Tindakan Badrul untuk menyertai Umno telah kita jangkakan setelah beliau keluar menjadi calon bebas, mungkin beliau ini seorang yang penakut sehingga mengambil masa yang agak lama untuk menyertai Umno. Tapi bagi Parti KEADILAN Rakyat Badrul bukan satu ancaman malah beliau keluar parti adalah satu rahmat kepada kita," sambungnya lagi. - SK

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...