Saturday, May 1, 2010

Tamrin Sifatkan Rais Sebagai Hipokrit


Anak mantan Timbalan Perdana Menteri, Tamrin Ghafar menyifatkan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Dr Rais Yatim sebagai hipokrit apabila mempertikai kehadiran beliau pada dua ceramah kempen pilihan raya kecil Pakatan Rakyat di Hulu Selangor minggu lalu.

Ketika ditemuramah Suara Keadilan, Tamrin yang juga bekas Ahli Parlimen Batu Berendam selama dua penggal berkata berbanding Rais beliau tidak pernah meninggalkan Umno dan juga tidak bertindak membakar 'jambatan'.

"Tidak pernah dalam sejarah karier politik, saya tinggalkan parti tetapi Rais pernah berada di dalam parti Semangat 46 dan berkata beliau telah membakar jambatannya dengan Umno.

"Semasa di luar Umno beliau memaki hamun, mencerca dan menyerang begitu hebat sekali semua pemimpin Umno termasuk Najib dan isterinya Rosmah.

"Apabila dia perlukan jawatan Menteri kembali Rais sanggup mencium tangan yang membina jambatan yang dibakarnya," kata Tamrin di pejabatnya hari ini.

Tamrin yang juga bekas Pengerusi MARA dan Exco Pergerakan Pemuda Umno menyifatkan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan itu sebagai seorang politikus yang licik tetapi gagal sebagai seorang anggota Kabinet.

"Rais akan berbuat apa sahaja dan cakap apa sahaja untuk memuaskan hati ketuanya asalkan jawatan dan kepentingan dia terjamin.

"Semasa menjadi Menteri Luar beliau gagal mempertahankan kedaulatan Pulau Batu Putih sehingga kita hilang pulau itu kepada Singapura.

Tamrin mengulas laporan Utusan Malaysia semalam yang memetik Rais sebagai berkata bahawa tindakan beliau menyertai ceramah Pakatan Rakyat diibarat seperti 'mendengar guruh dilangit, air tempayan dicurahkan' serta tidak mencerminkan perjuangan ayahnya, Tun Abdul Ghafar Baba.

"Sekarang ini Umno pandai bercakap mengenai perjuangan Tun Ghafar tetapi apabila sahaja ayah saya tidak lagi berada dalam kerajaan tidak ada pemimpin Umno yang peduli atau datang melawatnya. Mereka hanya datang ziarah disaat Tun Ghafar menghembuskan nafas terakhir beliau. Begitulah Umno melayan dan mengiktiraf jasa dan sumbangan Tun Ghafar. Dia hanya penting ketika pegang jawatan tinggi dalam parti dan kerajaan," kata Tamrin dalam nada kesal.

Menyentuh mengenai kehadirannya pada ceramah Pakatan Rakyat di Sungai Buaya dan Stadium Kuala Kubu Baharu, Tamrin berkata beliau mengkagumi ketokohan Datuk Nik Aziz Nik Mat sejak dalam Pemuda Umno lagi.

"Saya dengar Tuan Guru Nik Aziz akan berada di Sungai Buaya jadi saya pergilah. Kebetulan Datuk Seri Anwar, kawan lama saya, ternampak saya dan memperkenalkan saya kepada hadirin dan menjemput saya ke atas pentas. Apabila Tuan Guru tidak datang saya kembali keesokan malamnya untuk mendengar ceramah beliau di stadium. Baru sekarang saya dapat berpeluang untuk mendengar ceramah Tuan Guru setelah menunggu sekian lama.

"Terpulang kepada pucuk pimpinan parti sekiranya mereka ada niat untuk pecat saya. Saya sedia menerima apa juga keputusan dengan hati terbuka," kata beliau lagi. -SK

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...