Friday, September 17, 2010

Semua Mayat Dibakar Untuk Hapuskan Bukti


 Kes Bunuh Sosilawati : Taktik Licit Hapus Bukti                                                                                     

Taktik siasatan polis berdasarkan teori ‘No Body, No Murder’ digunakan suspek(Gambar) utama yang juga seorang peguam berstatus Datuk dalam kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, 47, dan tiga individu lain di Ladang Gadong, Tanjung Sepat dekat sini, baru-baru ini.
Teori itu dikatakan digunakan suspek ketika dia cuba menghapuskan segala bukti fizikal dengan membakar semua mayat sebelum abunya dibuang ke dalam sungai.

 Malah bagi mengelirukan polis, suspek turut membuang abu mayat mangsa, barangan peribadi, senjata digunakan dan bahan yang ada kaitan dengan kes itu ke dalam beberapa sungai yang terletak berhampiran ladang berkenaan. Dengan perancangan rapi dilakukannya, lelaki berkenaan disifatkan sebagai bijak kerana mengetahui cara terbaik menghapuskan barangan kes.

Sebagai peguam, dia sendiri mengetahui ketiadaan bukti fizikal seperti mayat atau senjata pembunuhan akan menyulitkan pihak polis untuk menjalankan pendakwaan di mahkamah andai kata dia tertangkap.

Malah, dia boleh dianggap sebagai ‘Mastermind’ kerana menggunakan pekerjanya sendiri sebagai budak suruhan dengan meminta mereka melakukan pembunuhan terbabit tanpa dia perlu ‘menyentuh’ semua mangsa.

Selain itu, kuasa wang turut digunakan untuk membayar gaji tambahan kepada setiap pekerjanya yang sanggup melakukan pembunuhan kejam terbabit.

Jumlah ganjaran yang diberikan kepada setiap pekerjanya juga dikatakan mencecah ribuan ringgit membuatkan mereka setia dan patuh dengan arahan yang diberikan majikan mereka itu. Setakat ini, polis sudah menemui beberapa tulang dalam kawasan ladang yang dijadikan tempat pembakaran semua mangsa terbabit.

Menurut sumber forensik, biarpun tulang ditemui, namun ia belum menentukan ia milik empat mangsa terbabit kerana mungkin ia adalah tulang haiwan atau tulang orang lain.

“Buat masa ini, kita sudah menghantar semua tulang berkenaan ke makmal untuk dilakukan ujian Asid Deoksiribonukleik (DNA) dan setakat ini kes terbabit agak sukar untuk diklasifikasikan sebagai bunuh.

“Semuanya bergantung kepada hasil laporan ujian DNA yang dilakukan itu,” katanya. Sehingga kini, kematian Sosilawati, pemandunya Kamaruddin Shansuddin, 44; pegawai CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38 dan peguamnya, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, belum dapat dipastikan kesahihannya kerana memerlukan ujian DNA.

Bagaimanapun, selepas enam hari penahanan lapan suspek, polis menemui pelbagai petunjuk yang mungkin mampu membawa suspek ke muka pengadilan. Biarpun pelbagai barang peribadi milik mangsa sudah ditemui, namun apa yang dinanti kini hasil laporan ujian DNA yang dilakukan bagi menentukan sama ada sepadan dengan mangsa dan kerja terbabit perlu dilakukan dengan teliti berikutan membabitkan mangsa yang ramai.

Selain itu, motif sebenar pembunuhan kejam terbabit turut masih belum diketahui bagaimanapun siasatan awal polis mendapati ia berkaitan dengan wang dalam urus niaga jual beli tanah antara Sosilawati dan peguam berkenaan.

Bagi menutup rahsianya, peguam terbabit dikatakan sanggup membunuh semua mangsa semata-mata tidak mahu perbuatan kejamnya itu terbongkar.

Malah, pembunuhan kejam itu juga dikatakan turut dirancang peguam terbabit berikutan dia terlebih dulu menghubungi pekerjanya kira-kira jam 10 pagi 30 Ogos lalu meminta mereka menyediakan ‘persiapan’ untuk membunuh-hmetro

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...