Saturday, September 25, 2010

Nizar - Jika Pakatan Rakyat Ke Putrajaya Umno Hilang Kuasa Bukannya Orang Melayu

Umno Bukan Melayu Hilang Kuasa, Kata Pakatan
Menteri besar Perak yang disingkirkan, Datuk Seri Muhamad Nizar Jamaludin mendakwa Tun Dr Mahathir dikuasai otak perkauman berhubung wawancaranya itu yang mengingatkan bahawa orang Melayu bakal kehilangan kuasa dan suara jika Pakatan Rakyat berjaya mengambil alih tampuk pemerintahan negara.

Katanya, dakwaan Mahathir yang disiarkan di laman sesawang Umno-online, satu kenyataan bersifat perkauman.

"Umno pasti hilang kuasa dan suara jika Pakatan Rakyat memerintah negeri-negeri dan pusat. Tun Mahathir kata Melayu hilang kuasa dan suara. Ini kenyataan rasis dan hasutan," kata Nizar menerusi twitternya.

Beliau memberi jaminan, yang akan hilang kuasa jika Pakatan menduduki Putrajaya adalah Umno dan bukannya orang Melayu.

Wawancara itu dipetik media arus perdana dengan menyiarkan kenyataan Mahathir yang mendakwa kuasa politik Melayu akan hilang sekiranya Pakatan Rakyat mendapat kuasa seperti yang berlaku di Perak sebelum dirampas oleh BN.

Mantan presiden Umno itu mendakwa, walaupun menteri besarnya Melayu dari PAS iaitu Muhamad Nizar tetapi kerajaan itu dikuasai oleh DAP
.

Nizar berkata, kenyataan sebegini adalah jelas dari otak perkauman Mahathir.

"PAS bertindak secara Islam untuk mendapatkan dari Umno yang perkauman untuk menyelematkan Malaysia," kata Nizar.

Sementara itu, ahli parlimen Lembah Pantai, Nuzul Izzah Anwar pula mencabar Mahathir untuk berdebat berikutan dakwaannya Melayu akan hilang kuasa jika Pakatan Rakyat memerintah.

"Oleh itu, dengan matlamat untuk bertukar pendapat, demi mewujudkan 'Malaysia Yang Lebih Baik Untuk Semua Rakyat', saya dengan rendah hati membuat tawaran untuk berdebat dengan Tun Dr Mahathir supaya 'kebimbangan' Melayu - yang pastinya tidak melibatkan keseluruhan masyarakat - yang disebut itu dapat dijelaskan, sama ada kerana takut Melayu hilang kuasa atau hilang harta?" kata Nurul Izzah dalam satu kenyataan akhbar.

Bagi Nurul Izzah, kenyataan Mahathir itu tidak bertanggungjawab dan adalah sebahagian daripada usaha terdesak untuk menjejaskan kestabilan negara.

“Selain penggunaan isu perkauman, Umno juga memakai satu-satunya pendekatan yang mereka mahir, iaitu 'Politik Ketakutan'. 'Politik ketakutan' menggunakan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan sebagai alat untuk penipuan yang penuh terdesak,” katanya.

Menurut Nurul Izzah, masyarakat Melayu diindoktrinasi melalui pelbagai cara termasuk penggunaan NGO untuk berlakon sebagai mangsa.

“Tujuannya untuk mengeliru dan membantutkan seluruh anggota masyarakat supaya kekal terpasung fikirannya dan emosinya baik oleh kerajaan penjajah dan kini melalui penggantinya, Umno,” katanya yang dipercayai merujuk kepada Pergerakan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) yang diketuai oleh Datuk Ibrahim Ali dengan Mahathir sebagai penasihat.

"Matlamat ini tidak lain dan tidak bukan untuk mengekalkan dominasi politik oleh sekelompok kecil elit Melayu yang rapat dengan pusat kuasa, melalui rasuah, salah guna kuasa dan secara berterusan mengabaikan perlembagaan.

"Malang sekali kerana tindakan mereka ini dibantu oleh MCA, MIC, Gerakan dan parti komponen BN lain yang terus membisu dan membuang tanggungjawab yang sepatutnya digalas.

"Kita perlu melawan usaha-usaha ini dengan menekankan politik berlandaskan harapan dan kebebasan yang akan mengubah minda Melayu daripada kebimbangan palsu tentang kehilangan identiti dan pembangunan ekonomi kepada daya positif yang akhirnya mencipta masyarakat yang penuh keyakinan dan tidak lagi terkongkong," kata Nurul Izzah.- MalaysiaKini

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...