Saturday, September 4, 2010

Kejahilan Umno Terdedah, Memutar Belit agama dan sentimen Melayu


Manipulasi Isu Agama Dedah Kejahilan Umno
Meski pun Barisan Nasional (BN), khususnya Umno begitu beriya-iya menjatuhkan imej dan kredibiliti PAS menerusi manipulasi isu-isu berkaitan agama dan sentimen Melayu kebelakangan ini, kegelojohannya berbuat demikian sebaliknya lebih mendedahkan kejahilan parti itu terhadap ilmu Islam sebenarnya.
Di masa sama, kebijaksanaan dan keikhlasan PAS menerangkan kedudukan sesuatu isu berlandaskan ilmu Islam yang sebenar akhirnya berjaya menambat hati rakyat negara ini menjadikan parti itu sebagai alternatif kepada Umno/BN.
“Rakyat seluruh negara menunggu dengan penuh harapan agar PAS menerajui dan mendidik mereka dengan ilmu Islam, yang sentiasa membawa sinar kebenaran yang tak boleh dipertikaikan,” tegas Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub.(gambar)

Beliau menyatakan demikian di dalam ceramahnya di Dewan Haji Salleh, Alor Lintah, dekat sini malam tadi.
Turut berucap di majlis ceramah itu ialah Setiausaha Politik kepada Presiden PAS, Dr Ahmad Shamsuri Mokhtar.
Menurutnya, para pemimpin PAS telah menunjukkan kematangan dan kebijaksanaan yang amat mengagumkan masyarakat, terutama kalangan bukan Islam, dalam menangani beberapa isu berkaitan Islam dan Melayu kebelakangan ini.
“Kita tidak mudah melatah, bukan macam para pemimpin Umno yang bagaikan hilang akal, dibantu surat-suratkhabar yang dikuasai mereka memainkan isu-isu agama secara ekstrem dan mengapikan isu perkauman yang sempit secara tidak bertanggungjawab,” katanya.
Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian merujuk manipulasi yang terlampau oleh para pemimpin Umno dan media kroninya dalam isu-isu terkini berkaitan agama.
Paling baru ialah isu seorang khatib mendoakan kesejahteraan untuk Ketua Menteri Pulau Pinang dan isu dua wakil rakyat bukan Islam memasuki surau dan masjid di Selangor.
Beliau mempersoalkan apa rasionalnya Umno terlalu memainkan isu berkenaan, sedangkan ia bukan sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Beliau membawakan contoh dan bukti bahawa perkara sama telah dilakukan oleh para pemimpin bukan Islam dari komponen BN sendiri.
“Sebaik saja berita ini tersiar, pagi-pagi esoknya seorang bekas wakil rakyat BN di Johor telefon saya. Dia kata, ‘YB, this is too much (ini sudah melampau). Saya dulu pun masuk masjid, buat ucapan dalam masjid di kawasan saya. Umno tak kisah pun,” Salahuddin menceritakan luahan kecewa bekas wakil rakyat BN itu.
Beliau merujuk isu Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching yang memasuki Surau al-Huda di Kajang, yang dijadikan bahan utama media arus perdana baru-baru ini. Isu itu dimanipulasi sepenuhnya oleh para pemimpin BN dan media kroninya, bukan sahaja di atas dakwaan penghinaan terhadap Islam, malah turut dijadikan bahan menyerang pendirian PAS berhubung isu agama.
 
Salehuddin turut menyebut pendedahan media siber mengenai tindakan seorang wakil rakyat bukan Islam di Parlimen Pontian yang juga memasuki masjid beberapa hari selepas itu.
 
“Adun Pulai Sebatang, seorang pemimpin MCA, masuk ke masjid rasmikan program tadarus dan khatam al-Quran. Kenapa Umno tak kecoh?” soalnya.
 
Beliau turut menarik perhatian hadirin kepada keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan pada Mac lalu yang menetapkan bahawa orang bukan Islam dibolehkan memasuki masjid dan surau, termasuk ruang solat.
 
“Sebab itu rakyat yang rasional jadi keliru (dengan reaksi terlampau para pemimpin Umno). Rakyat tertanya-tanya kenapa Umno seolah-olah orang hilang akal dalam isu ini, kenapa tak rujuk Majlis Fatwa?” soalnya lagi.
 
Baginya, tabiat buruk Umno itu menyebabkan parti itu semakin ditolak rakyat. PAS pula beliau yakin sedang bergerak dengan serius untuk mengambil tempat Umno dalam memperjuangkan nasib rakyat, terutama bangsa Melayu dan agama Islam.
Hadir sama Ketua Dewan Ulamak PAS Terengganu, Datuk Husain Awang dan Yang Dipertua PAS Kawasan Besut, Ustaz Wan Azhar Wan Ahmad.-Harakahdaily

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...