Friday, September 10, 2010

Nik Aziz - Laungan Takbir Lebih Menjamin Keselamatan Dan Keamanan


Jadikan Eidul Fitri Alat Penyatuan Kaum
Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berharap agar Hari Raya Eidul Fitri yang disambut pada tahun ini dan tahun-tahun yang seterusnya berjaya menjadi alat penyatuan di antara kaum yang berbeza dengan berteraskan kalimah takbir.
Menurut beliau, laungan takbir ini jauh lebih menjamin keselamatan dan keamanan jika dibandingkan dengan laungan perkauman yang dikumandangkan oleh golongan tertentu. 
Bahkan katanya masyarakat bukan Islam sendiri pun tentunya merasa jauh lebih terjamin keselamatan dan ketenteraman mereka di bawah syiar Islam dibandingkan dengan syiar bangsa dan keturunan. 
"Insya-allah jika semangat takbir ini dihayati sepenuhnya, banyak permasalahan yang berlaku di dalam negara dapat diselesaikan. Masyarakat dapat hidup aman dan damai tanpa sebarang pertembungan yang melibatkan keturunan dan kebudayaan
.
"Kita sudah tentu mengimpikan masyakarat di negara kita khususnya dapat hidup sejahtera tanpa sebarang gangguan dan ancaman yang terhasil dari perbezaan kaum dan keturunan. 
"Melayu misalnya dapat menerima menantu dari keturunan Cina, India tidak merasa kekok untuk bemertuakan seorang Melayu bahkan Melayu dengan senang hati berjemaah dan berimamkan seorang Cina atau India Muslim. Ini boleh terhasil apabila semangat takbir dapat dilaksanakan sepenuhnya dan bukan hanya sekadar meniti di bibir semata-mata," kata Nik Aziz dalam perutusan Hari Raya beliau.
Menurut beliau lagi, perlembagaan sebenar (alsirat al-mustaqim) ialah al-Quran yang di tadarus, yang di baca di dalam solat, di pejabat, di dalam perjalanan ke pasar atau ke mana-mana yang mengandungi nur iaitu cahaya.
Cahaya itu katanya lagi bukan cahaya matahari, bulan, bintang tetapi cahaya yang menyuluhi qalbu insan, bagi menentukan halal dan haram, dosa pahala, taat maksiat dan syurga neraka.
Tanpa adanya cahaya tersebut manusia akan meraba-raba dalam kegelapan. Itulah gunanya al-Quran, iaitu untuk menimbal kelemahan manusia.
"Orang yang bertaqwa hidupnya selari dengan agama. Hidup beragama terlalu jauh berbeza dengan hidup berdasarkan perlembagaan buatan manusia. Kerana tuan punya dunia ini telah menetapkan adanya hari pembalasan dan ini wajib diulang-ulang berbelas-belas kali setiap hari di dalam solat (maliki yaumid din). 
Oleh yang demikian, apalah sangat pihak yang mereka perlembagaan dapat membawa ruh perlembagaan buatan ini untuk memuaskan hati pihak hakim di akhirat kelak iaitu Allah SWT. 
Tanpa ada sebarang keraguan di mahkamah Allah (without any shadow of doubt). 
"Bolehkah perlembagaan buatan ini menyelamatkan seseorang manusia itu daripada neraka Allah SWT," soal beliau.
"Alhamdulillah, ini dapat kita saksikan sepanjang Ramadhan khususnya apabila masjid dan madrasah dipenuhi dengan kaum, tanpa mengira bangsa, semua kita melafazkan amin apabila imam menghabiskan bacaan al-fatihah.
"Kita tidak merasa kekok apabila bahu kita bersentuhan dengan saudara seagama dari kaum lain ketika mengerjakan solat. Kita tidak berasa janggal untuk menghulurkan salam kepada rakan sebelah yang berbeza keturunan.
"Persoalannya, kenapakah perasaan ini tidak muncul di luar masjid dan madrasah? Jawapannya, kerana kebesaran Allah SWT hanya diikrarkan di dalam masjid sahaja dan tidak dibawa keluar sebagai asas kehidupan," kata beliau lagi.
Sebab itu kata Nik Aziz, di dalam saat manusia berhibur pada hari ini, galak dengan makan minum, pakaian yang baru, manusia tetap disuruh melaungkan Allahu Akbar sekuat-kuatnya di merata-rata tempat tidak terhad di masjid dan di surau sahaja.
Ini kerana jika Allahu Akbar adalah akbar, terbesar, terpenting, maka segala urusan hidup lain menjadi kecil, boleh diketepikan bila bertembung dengan kehendak Allah SWT.
Tambahnya, di negara ini, umat Islam masih agak terikat dengan budaya bertakbir di masjid dan di surau sahaja. 
Beliau dalam pada itu mencadangkan agar umat Islam mempelopori suasana yang baru, berteraskan sunnah iaitu bertakbir di merata-rata tempat.
Pada masa sama, beliau turut  berpesan agar anak-anak Kelantan di perantauan dapat berhati-hati semasa berada di jalan raya. Perlulah di ingat bahawa kepulangan kita ditunggu-tunggu oleh orang yang tersayang. 
"Janganlah pula kepulangan di hari raya disambut dengan kedukaan akibat perkara yang tidak diingini semasa di jalan raya. 
"Akhir kata, saya mengajak seluruh umat Islam bersama-sama berdoa agar setiap amalan yang kita lakukan sepanjang Ramadhan khususnya diterima sebagai amalan yang soleh dan akan diganjari oleh Allah SWT dengan sebaik-baik ganjaran," kata Nik Aziz mengakhiri perutusan beliau.-S/K


No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...