Muafakat Cadang Wan Azizah, Syed Husin Kekalkan Jawatan
Majlis Muafakat Kepimpinan KEADILAN Negeri Selangor (MMKKNS) mencadang untuk mengekalkan status quo dua jawatan tertinggi parti bagi menyelesaikan apa yang sebut sebagai kemelut pertandingan merebut jawatan Timbalan Presiden pada Pemilihan Parti 2010 pada November depan.
Timbalan Pengerusinya, Abdul Kudus Omar berkata majlis tersebut mencadangksn agar jawatan Presiden terus disandang oleh Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sementara Timbalan Presiden kekal di tangan Senator Dr Syed Husin Ali.
"Dengan cara ini kami yakin kemelut pertandingan jawatan Timbalan Presiden akan dapat diselesaikan.
"Dengan ini calon-calon yang telah menawarkan diri untuk bertanding bagi jaatan Timbalan Presiden hendaklah menarik diri," kata Abdul Kudus ketika membaca kenyataan media bagi pihak Pengerusi, Syed Shahir Syed Mahamud.
Sekiranya muafakat dan kata sepakat tidak mampu dicapai bagi menyelesaikan isu jawatan Timbalan Presiden, MMKKNS mencadangakan alternatif kedua iaitu jawatan Presiden ditandingi Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini menyandang sebagai Ketua Umum sementara Timbalan Presiden pula diberikan kepada Dr Wan Azizah.
"Saya ingin tegaskan kami bukan menggalakkan dasar nepotisme dalam parti. Dalam isu ini ia bukan di antara Anwar Ibrahim dan isterinya tetapi di antara dua orang tokoh yang telah diuji. Cuma secara kebetulan Dr Wan Azizah adalah isteri kepada seorang manusia hebat bernama Anwar. Dr Wan Azizah pula adalah satu manusia cemerlang, telah terbukti kemampuannya memimpin sebuah parti walaupun baru dan tidak besar tetapi ia telah mencapai kejayaan yang belum ada tolok bandingnya," jelas Abdul Kudus yang juga Ketua Cabang Tanjong Karang ketika ditanya media.
Beliau juga berkata dakwaan bahawa calon Timbalan Presiden, Datuk Zaid Ibrahim memporak perandakan parti adalah tidak benar.
"Kami tidak menyelar beliau dan tidak nampak dia memporak perandakan parti cuma kita mahukan satu cara yang lebih teratur dan lebih terpelihara dari sudut sopan dan santun.
Bagaimanapun beliau melihat amalan pertandingan merebut jawatan dalam sebuah parti adalah sesuatu yang sihat.
"Itu hak mereka. Kita parti yang mengamalkan demokrasi sepenuhnya tetapi kami berkeyakinan mereka juga adalah tokoh-tokoh yang berpengalaman. Kami pasti mereka akan mengambil keputusan yang bakal memberi keuntungan dan faedah kepada semua pihak terutamanya parti. Kami tahu mereka mementingkan kepentingan parti, mendahulukan parti daripada diri sendiri.
"Ini menjadi petanda baik. 'Everybody explore their own channel' dan pasti nanti kita akan dapat satu cara yang paling baik. Kami mengharapkan inilah cara yang terbaik," ujar Abdul Kudus lagi.
Beliau juga ditanya samada cadangkan MMKKNS akan memberi kesan kepada keputusan Dr Syed Husin terhadap jawatanya sebagai Timbalan Presiden.
"Kalau kita melihat dahulu Dr Syed Husin ada memberi petanda mungkin beliau mahu berundur tetapi kebelakangan ini beliau hanya berdiam diri. Ini menunjukkan kematangannya kerana beliau mahu melihat keadaan sebelum membuat keputusan muktamad. Beliau mahu melihat disekeliling dulu sebelum beri kata putus," kata beliau.
Abdul Kudus juga tidak melihat sebarang masalah dalam pertandingan merebut jawatan Naib Presiden.
"Bagi jawatan Naib Presiden kami rasa tidakmenjadi isu besar kerana calon-calon yang menyandang dan juga yang baru adalah daripada kalangan yang berfikiran dingin, mudah diatur. Tidak ada masalah langsung dan kami yakin mereka berlapang dada apabila menawarkan diri menjadi calon," tambah beliau.
MMKKNS berpendapat usaha strategis perlu dilakukan bagi mmastikan proses pemilihan kepimpinan parti akan datang dapat dilaksanakan secara demokratik dan harmonis serta dapat memperkasa perpaduan dan kejituan parti.
"Maka amalan-amalan politiking dan budaya politik kotor seperti yang membarah pada tubuh parti lawan hendaklah disekat dan dimusnahkan sejak dari awal lagi.
"Justeru itu beberapa pendekatan baru dalam mengurus proses pemilihan barisan pimpinan parti perlulah diperhalusi dan diolah. Kami berpandangan usaha ini perlu bermula dengan penyelesaian konflik pemilihan jawatan Timbalan Presiden parti.
"Kami penuh insaf bahawa tugas ini bukan sahaja untuk melaksana tanggungjawab meraikan demokrasi malah lebih jauh sebagai menunaikan Tanggungjawab Ketuhanan yang akan dipersoalkan satu masa nanti," kata Abdul Kudus.
MMKKNS juga akan menganjurkan majlis taklimat dan dialog permuafakatan kepimpinan cabang pada 14 September depan bertempat di Dewan Masyarakat Pandamaran Jaya, Kuala Selangor.
Majlis dijangka bermula pukul 8.30 pagi dengan dihadiri pimpinan utama KEADILAN dan kesemua 22
Ketua Cabang serta kepimpinan Cabang.
Ini akan disusuli dengan jamuan rumah terbuka Hari Raya Aidil Fitri pada pukul 12.00 tengahari.-SK
No comments:
Post a Comment