Saturday, September 18, 2010

AMK Perak Dipecat Bukan Keluar Parti

Empat Pemimpin AMK Sudah Dipecat Kerana Masalah Disiplin
Empat pemimpin Angkatan Muda Keadilan (AMK) Perak yang keluar parti hari ini, sebenarnya sudah lama dipecat dari parti berikutan masalah disiplin, kata Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak, Mustafa Kamil Ayup.

Beliau berkata, mereka ini disyaki bersekongkol dengan Umno untuk memburukkan PKR selain cuba menyebarkan fitnah serta menghasut ahli AMK lain supaya meninggalkan parti.

Naib Presiden PKR itu juga tidak menolak kemungkinan mereka dikatakan diupah pemimpin Umno untuk menghasut ahli PKR supaya lompat parti dengan menyogok sejumlah wang dan tawaran projek.

“Pengunduran mereka dari parti membantu proses pembersihan dalaman PKR,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini, petang ini.


Pada sidang media di Hotel Seri Malaysia di sini pagi tadi, Ketua AMK Cabang Parit, Faizal Effendi Hasim; Ketua AMK Cabang Kampar, Rosli Abdullah; Pemangku Ketua AMK Padang Rengas, Ahmad Shahrul Zamsuri, dan Timbalan Ketua AMK Kuala Kangsar mengumumkan keluar parti.

Mustafa menyifatkan tindakan empat pemimpin AMK itu tidak sedikitpun menjejaskan kepimipinan PKR peringkat negeri, sebaliknya pimpinan parti berasa lega dengan pengunduran mereka.

Dalam perkara berkaitan, Mustafa mencabar supaya menyenaraikan semua nama 72 Wanita PKR Cabang Ipoh Barat yang didakwa keluar parti hari ini bagi membuktikan kebenaran.

Beliau juga mencabar pihak tertentu untuk menunjukkan bukti Mesyuarat Agung Tahunan Cabang (MATC) dan Pemilihan 2010 PKR pada 19 September 2010melanggar prinsip, peraturan dan perlembangan parti.

Selain itu, Mustafa berterima kasih kepada Majlis Pimpinan PKR Perak yang diwakili 24 cabang kerana mencalonkan beliau untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden dalam pemilihan kepimpinan PKR.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...